Covaxin Dilulus Sebagai Vaksin COVID-19 Di Malaysia

10 Feb 2022 • 7:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Covaxin akan digunakan untuk imunisasi aktif bagi mencegah COVID-19. - Gambar AFP

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-369 memberikan kelulusan Covaxin sebagai pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk vaksin COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemegang pendaftaran produk bagi vaksin itu adalah Averroes Pharmaceuticals Sdn Bhd dan dikilangkan oleh Bharat Biotech International Limited, India.

“Covaxin digunakan untuk imunisasi aktif bagi mencegah COVID-19 yang disebabkan virus SARS-CoV-2 dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas,” katanya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin terbabit, yang akan dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Ia berdasarkan data terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit–risk balance) vaksin tersebut kekal positif.

“KKM akan terus komited mempertingkatkan akses rakyat kepada vaksin bagi tujuan pencegahan penularan COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan,” katanya. - Getaran, 10 Februari 2022