
Kota Kinabalu: Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF) menghantar tiga lagi kanak-kanak untuk pembedahan jantung di Kuala Lumpur, selepas berjaya mengumpul sejumlah RM150,000 menerusi inisiatif kutipan dana di bawah kempen #SaveMyHeart dan sambutan ulang tahunnya yang ke-40 secara maya.
Tiga kanak-kanak yang menghidap Penyakit Jantung Kongenital ini ialah Faizal, 13, Herlena, 8, dan Hisyam, 8 bulan.
Presiden SOSHF Datuk Eva Susau berkata kempen #SaveMyHeart, yang berakhir pada 31 Jan tahun ini, menyaksikan jumlah kutipan sebanyak RM112,752, yang membiayai pembedahan tiga kanak-kanak itu yang menelan belanja RM135,911.29.
“Terdapat baki RM23,259.29 lagi, namun ia boleh ditampung dengan sumber pendapatan lain daripada halaman iklan ulang tahun ke-40 SOSHF dan penaja baik hati yang percaya dengan perjuangan kami.
“Ketiga-tiga pesakit itu telah dibedah dan kini berada di rumah untuk menjalani pemulihan dan menjalani kehidupan normal seperti mana-mana kanak-kanak sihat,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang telah memberi sumbangan yang banyak.
Beliau berkata SOSHF telah menghantar seramai 14 pesakit untuk pembedahan tahun lepas termasuk Faizal, Herlena dan Hisyam.
Beliau menambah bahawa matlamat persatuan itu tahun ini adalah untuk menghantar lebih ramai kanak-kanak untuk pembedahan jika dana mengizinkan.
Sehubungan itu, Eva berkata SOSHF merayu untuk sumbangan berterusan kerana terdapat juga kes mendesak kanak-kanak yang memerlukan pembedahan dalam senarai menunggu.
“SOSHF tidak akan pernah cukup dana kerana kami terus menghantar kanak-kanak kurang bernasib baik daripada keluarga miskin yang mempunyai penyakit jantung kongenital, untuk pembedahan jantung supaya mereka boleh menjalani kehidupan normal.
“Sementara persatuan membantu menyelesaikan kes mereka yang dalam senarai menunggu, kes baharu ditambah kerana bayi-bayi dilahirkan setiap hari. Statistik menunjukkan bahawa satu daripada 100 bayi dilahirkan dengan jantung berlubang,” jelasnya.
Katanya, sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada kos perubatan, kos perjalanan dan keperluan kebajikan pesakit.
Orang ramai boleh membuat sumbangan secara dalam talian ke akaun bank persatuan iaitu 510143112262 (Maybank). Resit pengecualian cukai akan dikeluarkan apabila sumbangan diterima. Nombor perhubungan rujukan ialah 019-8801270.
“Terima kasih sekali lagi kerana membantu kanak-kanak kurang bernasib baik yang menghidap Penyakit Jantung Kongenital,” kata Eva.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
