Gempa Bumi di Indonesia, JBPM Melaka Terima 7 Panggilan Kecemasan

25 Feb 2022 • 2:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anggota bomba menjalankan pemantauan di bangunan yang dilaporkan mengalami gegaran susulan gempa bumi di Sumatera, Indonesia, pagi tadi.

MELAKA TENGAH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima tujuh panggilan kecemasan susulan gegaran dirasai di negeri ini akibat gempa bumi di Sumatera, Indonesia, sekitar jam 9.40 pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Penolong Penguasa Bomba Soon Wee Kiang berkata, sejurus menerima panggilan pada kira-kira jam 9.45 pagi, sepasukan anggota dari beberapa balai bomba dan penyelamat (BBP), termasuk Melaka Tengah digerakkan ke lokasi.

Katanya, pihak bomba melakukan pemantauan di lokasi, termasuk bangunan bertingkat bagi memastikan ia selamat diduduki dan tiada keretakan dikesan.

“Susulan kejadian gempa bumi di Utara Sumatra, Indonesia kami (JBPM Melaka) menerima tujuh panggilan kecemasan, termasuk dari kakitangan di bangunan kerajaan dan penduduk perumahan di daerah ini.

“Antara panggilan itu adalah dari pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Seri Negeri, perumahan Tehel dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandaraya Melaka,” katanya.

Terdahulu, gegaran akibat gempa bumi di negara seberang itu dilaporkan turut dirasai di beberapa daerah di negeri ini, antaranya Klebang, Pengkalan Balak dan Ayer Keroh.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Jabatan Metreologi Malaysia (MET Malaysia), tiada ancaman tsunami dilaporkan berlaku kepada Malaysia.

Gegaran gempa bumi itu juga dirasai di Barat Semenanjung, terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. – Getaran, 25 Februari 2022