Pemilikan Rumah di UK, Rohana Disiasat SPRM 8 Jam

Politics
25 Feb 2022 • 7:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rohana Rozhan - Gambar dari Nikkei Asian Review

KUALA LUMPUR - Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan, disiasat lebih lapan jam berhubung isu pemilikan rumah bernilai lebih US$10 juta (RM41.8 juta) di London, United Kingdom (UK).

Sumber berkata, siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu susulan pendedahan mantan pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat (AS).

“Rohana dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya jam 9 pagi semalam. Siasatan dijalankan selama hampir lapan jam berhubung pendedahan itu.

“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan terhadapnya, namun jika ada keperluan, SPRM mungkin memanggilnya semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan ke atas Rohana.

Rohana disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Terdahulu, perjalanan perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat semakin menarik apabila Leissner mendedahkan mempunyai hubungan dengan Rohana.

Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan berkenaan, Leissner mendedahkan beberapa nama, termasuk Rohana dan menjelaskan hubungan antara mereka itu bermula sejak tahun 2003 hingga 2013.

Leissner turut mengakui menerima sejumlah wang daripada 1MDB, malah mendedahkan beliau membelikan sebuah rumah di London pada 2013 untuk Rohana selepas diancam wanita itu yang mahu mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Pada 2018, Leissner mengaku bersalah kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah AS dan konspirasi pengubahan wang. - Getaran, 25 Februari 2022