
KUALA LUMPUR - Istilah persekolahan di rumah atau ‘homeschooling’ mula popular di negara barat, terutama di Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 1980-an apabila ia dianggap lebih fleksibel, mudah dikendalikan dan selamat untuk anak.
Kaedah homeschooling tidak memerlukan kanak-kanak ke sekolah, sebaliknya menjalani pembelajaran di rumah mengikut kurikulum pendidikan semasa ditetapkan kerajaan, sama ada menerusi tunjuk ajar tutor, belajar secara atas talian atau ibu bapa bertindak sebagai tenaga pengajar.
Pelbagai faktor menyebabkan ibu bapa memilih kaedah homeschooling, termasuk bimbang anak mereka berdepan persekitaran kurang sihat di luar rumah, tidak puas hati terhadap pengajaran akademik di sekolah, masalah fizikal, status kesihatan dan mahu memberikan fokus terhadap mata pelajaran tertentu, terutama keagamaan.
Di Malaysia, KPM membenarkan homeschooling kepada ibu bapa yang memiliki anak dalam kategori tertentu, seperti masalah kesihatan kronik atau abiliti perkembangan terhad dan memerlukan penjagaan rapi.
Apa pun, kaedah pendidikan itu adalah keistemewaan kepada golongan tertentu dan bukan hak kerana sistem persekolahan biasa harus diutamakan kepada kanak-kanak untuk memastikan mereka memiliki ilmu menyeluruh, membabitkan kurikulum, kokurikulum serta kemahiran insaniah.
Namun, trend homeschooling semakin banyak dipraktikkan ibu bapa di negara ini dan menerusi perkongsian mereka di media sosial, mereka seolah-olah mempraktikkan ia tanpa berlandaskan syarat ditetapkan KPM.
Situasi itu mencetuskan kekhuatiran mengenai masa depan pelajar berkenaan sekiranya tidak mendapat ilmu atau kemahiran tertentu.
Menjawab persoalan dan isu berkenaan, Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Rahimi Md Saad berkata, apa yang seharusnya difahami golongan ibu bapa adalah pendidikan di sekolah bukan bermatlamat untuk membolehkan anak mereka menguasai akademik semata-mata, tetapi memberikan ruang kepada pelajar mempelajari selok-belok kehidupan.
Katanya, sekolah adalah sebuah institusi yang menawarkan proses sosialisasi, termasuk mengajar bagaimana cara untuk bergaul dengan rakan sebaya dan berkomunikasi bersama individu lebih dewasa, seperti guru.
Beliau berkata, kehadiran ke sekolah berupaya membantu pelajar memahami organisasi hidup bermasyarakat, termasuk peranan ketua kelas, pengawas dan bagaimana memikul tanggungjawab yang membolehkannya bergaul serta belajar.
“Jadi sekiranya memilih homeschooling tetapi tidak boleh menyediakan ruang mencukupi untuk anak belajar, tiada pergaulan dengan kawan sebaya, ini kita bimbang. Kesannya kita mungkin melahirkan generasi bersifat individualistik dan mementingkan diri kerana dia tidak terdedah secara meluas mengenai proses sosialisasi atau pergaulan.
“Anak mereka ini akan membesar sebagai anggota masyarakat, jadi jika hanya dididik dalam lingkungan keluarga sendiri, dia tidak akan nampak pengajaran meluas boleh diperoleh di dunia luar,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Rahimi berkata, segelintir orang menganggap pendidikan di sekolah adalah untuk mendapatkan sekeping sijil bagi melanjutkan pengajian, namun institusi berkenaan menawarkan masa depan yang lebih baik.
“Sebab itu ia dipanggil persekitaran sekolah, iklim sekolah atau terma ‘hidden curriculum’ (kurikulum tersembunyi) yang sebenarnya lebih mempengaruhi pembentukan karakter pelajar,” katanya yang juga Penyelaras Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan.
Menurut Rahimi, bagi mengelakkan stigma homeschooling adalah lebih baik daripada pembelajaran di sekolah, KPM perlu memberi kesedaran bahawa kegagalan untuk ibu bapa menghantar anak ke institusi pendidikan itu tanpa alasan kukuh adalah kesalahan dari segi undang-undang.
Kesedaran itu juga, katanya, penting kerana terdapat segelintir ibu bapa bukan sahaja tidak faham mengenai keperluan menghantar anak ke sekolah, malah mengambil mudah dan cepat terpengaruh dengan sentimen di media sosial bahawa homeschooling lebih baik.
“Ibu bapa yang mahu mempraktikkan homeschooling perlu memohon kebenaran daripada KPM, menunjukkan kemampuan untuk berikan pendidikan alternatif ini kepada anak dan dikendalikan mengikut lunas kurikulum betul,” katanya.
Mengulas isu sama, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Hasbi Abdul Rahman berkata, pemilihan homeschooling tidak menimbulkan masalah sekiranya ibu bapa melakukan pertimbangan berasas dan mempraktikkan ia menerusi kaedah terbaik.

Katanya, pilihan itu tidak menjadi isu jika ibu bapa memberikan homeschooling dengan mengupah guru atau tutor sambilan yang berkelayakan dan selagi tidak mengehadkan silibus mata pelajaran tertentu, contohnya ilmu agama semata-mata.
Muhammad Hasbi berkata, sekiranya ibu bapa memilih homeschooling kerana menganggap mata pelajaran lain sebagai tidak islamik, ia adalah tindakan salah kerana semua silibus subjek harus dipelajari untuk keseimbangan ilmu diri.
“Malah dalam perspektif Islam pun tidak mengkategorikan begitu. Adakah kita nak mengatakan ilmu Matematik, Geografi dan Sains diajar di sekolah itu tidak islamik. Semua itu termasuk dalam Islam juga.
“Cuma dari sudut penekanan dan cara keperluan penyampaian ilmu berkenaan, mungkin ada perbezaan sebab ada sesetengahnya cukup belajar secara teori, ada pula memerlukan teknikal, ilmu agama juga ada teknikalnya,” katanya.
Pada masa sama, Muhammad Hasbi berkata, ibu bapa harus menyedari tuntutan kehidupan hari ini memerlukan generasi masa depan yang memiliki pelbagai kemahiran dan kaya ilmu pengetahuan.
“Kita tak menghalang keputusan segelintir ibu bapa yang mahu anak homeschooling disebabkan nak hantar anak ke sekolah pondok atau ke universiti luar negara bagi mendalami ilmu keagamaan, ini tak timbul masalah.
“Tetapi bila homeschooling ini dilakukan secara terhad, tidak dipenuhi silibus mata pelajaran, ilmu atau kemahiran penting lain, ibu bapa seperti menafikan keperluan dan kemampuan untuk anak,” tegasnya.
Ibu bapa katanya, perlu sedar dan faham bahawa ilmu sains sosial dan agama sahaja tidak mencukupi untuk anak mereka menempuh cabaran di masa hadapan, seperti kemahiran menguasai ‘online’ serta transaksi berasaskan dalam talian.
Bagi mengatasi kesan buruk daripada homeschooling, beliau berpendapat semua pihak perlu menjalankan peranan masing-masing, termasuk kerajaan harus memberikan penjelasan dan keyakinan kepada rakyat bahawa sistem pendidikan sedia ada sememangnya terbaik.
“Masyarakat juga perlu lebih cakna dengan persekitaran tetangga, termasuk menasihatkan jiran yang bersikap menongkah arus, contohnya terpengaruh dengan ajaran tidak mempercayai sistem pendidikan arus perdana dan belajar silibus sendiri sehingga akhirnya tercicir,” katanya. - Getaran, 24 Februari 2022
