Gaji Minimum RM1,500, Syarikat Keselamatan Berisiko Gulung Tikar

9 Feb 2022 • 5:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ramli bercakap kepada media dalam sidang media oleh Persatuan Industri Keselamatan Malaysia. - Gambar oleh Sadiq Asyraf

PETAING JAYA - Seramai 170,000 pekerja syarikat keselamatan berdepan kemungkinan hilang pekerjaan sekiranya kerajaan masih meneruskan pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

Jumlah itu turut membabitkan 30,000 pekerja sokongan sektor itu di 900 syarikat keselamatan yang berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, rentetan risiko dihadapi kumpulan pekerja itu, kerajaan harus memperhalusi cadangan kenaikan gaji minimum terbabit.

“Cadangan ini perlu mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kegawatan ekonomi secara global dan peningkatan inflasi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ramli berkata, sekiranya kenaikan gaji minimum ini dilaksanakan, tidak mustahil ia mengakibatkan sebahagian besar pengusaha industri keselamatan yang kebanyakannya Bumiputera, berdepan keuntungan negatif, sekali gus terpaksa gulung tikar.

Katanya, akibat pelaksanaan gaji minimum RM1,500 itu, ahli PIKM sukar menampung bayaran mandatori kerana kadar ditawarkan pelanggan, sama ada kerajaan atau swasta adalah rendah.

Menurut Ramli, ia turut mengakibatkan segelintir pihak membida (kontrak) pada harga jualan, iaitu di bawah kos keseluruhan semata-mata untuk memenanginya kerana pelanggan tidak bersedia dengan harga tinggi.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku kejadian tenaga kerja gagal dibayar caruman, termasuk pembayaran cukai,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan 25 peratus daripada gaji minimum bermakna elemen pembayaran mandatori seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut meningkat secara berkadar.

“Anggaran gaji bulanan setiap pekerja akan meningkat kepada RM3,300 dengan penambahan kos iaitu melebihi RM700 setiap seorang pengawal keselamatan.

“Ini bererti kadar harga perkhidmatan sejam menjadi lebih kurang RM11 untuk membolehkan syarikat mendapat keuntungan 10 peratus.

“Tiada pelanggan bersedia untuk membayar kadar tersebut termasuk kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata kerajaan sendiri dilihat belum bersedia dengan kenaikan gaji minimum.

“Buktinya, kerajaan masih mempunyai tunggakan bayaran pelarasan gaji minimum bernilai jutaan ringgit pada tahun 2016 dan 2020 kepada syarikat keselamatan melalui kontrak sebelum ini.

“Syarikat yang memperoleh kontrak kerajaan terpaksa menanggung kos tersebut menggunakan duit sendiri yang masih belum dijelaskan sehingga kini,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sangat tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan meminta kerajaan untuk mempertimbangkannya semula.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dilaporkan berkata, gaji minimum sekitar RM1,500 sebulan dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini walaupun kadar baharu itu belum dimuktamadkan kerana perlu menanti keputusan Jemaah Menteri. - Getaran, 9 Februari 2022