Meriah Sambut Tahun Baharu Cina Walau Berbeza Agama, Kaum

1 Feb 2022 • 3:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Keluarga Teoh Swee Poh berkumpul beramai-ramai sempena sambutan Tahun Baharu Cina di rumahnya di Ayer Keroh Height, hari ini.

MELAKA TENGAH - Selepas hampir tiga tahun tidak berkumpul susulan penularan COVID-19, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini lebih meriah bagi keluarga mantan atlet badminton orang kelainan upaya (OKU), Teoh Swee Poh, 60, apabila semua adik-beradiknya dapat meraikan sambutan istimewa itu di bawah satu bumbung.

Kepulangan ahli keluarganya itu juga menjadi momen paling manis dan menggembirakan untuk ibu mereka, Lee Kim Nio, 84, yang sering tertunggu-tunggu kepulangan anak, menantu serta cucu.

Swee Poh berkata, walaupun perayaan itu pada kali ini diraikan secara bersederhana akibat pandemik terbabit, mereka merasa lengkap, tambahan ia disertai adiknya yang memeluk Islam dan menantu Melayu.

“Setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, kami menyambutnya dengan aktiviti berkumpul bersama-sama sekeluarga, tetapi rutin itu berubah sejak dua tahun lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun kali ini sambutan kembali lebih bermakna apabila kesemua ahli keluarga dari Sabah, Kuala Lumpur serta Johor pulang meraikan bersama-sama, malah individu paling gembira adalah ibu,” katanya.

Menurut Swee Poh, walaupun sambutan itu diraikan secara sederhana, kebenaran rentas negeri diberikan kerajaan amat bermakna buat mereka sekeluarga untuk terus memperkukuhkan hubungan kekeluargaan.

“Apapun kami semua tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memandangkan angka COVID-19 agak tinggi ketika ini,” katanya.

image is not available
Selepas tiga tahun tidak berkumpul, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini lebih bermakna kepada keluarga Teoh Swee Poh.

Sementara itu, adik iparnya, Nurul Natrah Lukanni Lockman, 35, berkata sejak berkahwin dengan suami, Muhammad Redzuan Teoh Abdullah, kira-kira 13 tahun lalu, dia akan pulang ke rumah mentua setiap kali Tahun Baharu Cina untuk bersama-sama meraikannya.

“Penerimaan keluarga suami amat baik. Mungkin juga adat Melayu dengan cara kehidupan masyarakat Baba Nyonya diamalkan keluarga suami yang tidak jauh beza, membuatkan saya tidak kekok apabila berkumpul bersama mereka.

“Malah bahasa Melayu digunakan ibu mentua juga memudahkan kami berkomunikasi, selain anak-anak boleh bergaul mesra dengan sepupu mereka,” katanya.

Nurul Natrah Lukanni berkata, dia juga tidak berdepan masalah untuk menikmati juadah dihidangkan memandangkan ia sama seperti menu tradisi masyarakat Melayu.

“Hidangan disediakan ketika Tahun Baharu Cina ini seperti masakan disajikan ketika hari raya, antaranya ayam masak sambal dan rendang,” kata ibu kepada empat anak itu. – Getaran, 1 Februari 2022