
KUALA LUMPUR - Protokol baharu bagi prosedur isolasi kontak rapat pesakit COVID-19 akan diumumkan minggu hadapan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, protokol tersebut sudah dilaksanakan dalam kalangan petugas kesihatan menerusi pekeliling yang diedarkan pada 15 Februari lalu.
“Satu pekeliling telah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk pekerja kesihatan mengenai satu protokol baharu.
“Protokol itu menjelaskan, mereka yang disahkan kontak rapat kini tidak lagi perlu menjalani isolasi sekiranya tidak bergejala,” katanya.
Menurut beliau, mereka hanya perlu membuat ujian saringan pada hari tertentu.
“Jadi kita mungkin akan guna pakai protokol yang sama apabila kita rasa sudah boleh melaksanakannya kepada orang ramai.
“Saya juga sudah minta (Tan Sri) Dr Noor Hisham untuk maklum kepada sektor kesihatan swasta bahawa mereka juga boleh ikut protokol sama seperti KKM,” katanya.
Sementara itu, Khairy turut memaklumkan jumlah kes positif COVID-19 harian tidak lagi akan diumumkan secara berasingan bermula esok.
Katanya, maklumat tersebut akan dikeluarkan bersama dengan data lain untuk mengurangkan faktor ketakutan terhadap kes harian setiap hari.
Beliau berkata, langkah tersebut juga sebahagian daripada perubahan tingkah laku dan pemikiran rakyat supaya tidak hanya melihat kadar kes harian semata-mata.
“Kita kena baca sekali semua metrik dengan data lain agar kita dapat gambaran lebih jelas berkenaan keadaan kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU), kematian, kategori dan sebagainya.
“Ini supaya kita secara perlahan dapat mendidik masyarakat daripada melihat kes harian kepada angka-angka lain yang memberi gambaran lebih jelas dan teliti mengenai keadaan sebenar,” katanya.
Berikutan itu jelasnya, kes harian yang sepatutnya diumumkan esok hanya akan diketahui pada pagi Sabtu.
“Jadi kes harian esok akan dilaporkan pagi Sabtu. Ini amalan negara-negara lain, Singapura contohnya (umum) tengah malam tentang kes harian mereka,” katanya. - Getaran, 17 Februari 2022

