MUDA Bukan Ciptaan DAP Seperti Didakwa Abdul Hadi

Politics
19 Feb 2022 • 8:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hannah Yeoh menyangkal dakwaan Abdul Hadi bahawa Parti MUDA adalah ciptaan DAP. - Gambar dari Twitter Parti MUDA

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyangkal dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) adalah ciptaan DAP.

Mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, tindakan tersebut adalah taktik lama dalam menakutkan orang Melayu, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Sudah dua tahun sejak PAS masuk Putrajaya menjadi kerajaan melalui Langkah Sheraton, tetapi masih guna 'kad sama' untuk takutkan orang Melayu, iaitu semua salah DAP.

“PAS parti yang tiada idea baharu atau tadbir urus. Parti itu tidak tahu apa-apa dan kurang cerdik,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Abdul Hadi yang menyifatkan parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu, sebagai ciptaan DAP bagi mengumpan belia Melayu.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan sebelum ini, DAP juga menjadi pencetus kepada penubuhan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang meletakkan sasaran menarik sokongan penyokong PAS.

“AMANAH itu DAP yang buat, saya tahu dia ambil orang PAS dan buat AMANAH. Sekarang ada parti MUDA, itu pun anak DAP juga.

“MUDA pun untuk menarik umpan dan pancing anak muda Melayu. Ingat jangan makan umpan,” kata Hadi. - Getaran, 19 Februari 2022.