
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 168 kes baharu COVID-19 membabitkan jangkitan varian membimbangkan (VOC) dalam tempoh hanya seminggu, sejak 13 Februari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu mencakupi 33 jangkitan varian Delta dan 135 (Omicron).
Katanya, Institute of Health and Community Medicine (IHCM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengenalpasti 92 kes daripada keseluruhan jumlah itu, manakala Medical Molecular Biology Institute (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (39) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) (37).
“Ini menjadikan jumlah kumulatif jangkitan virus COVID-19 yang dikategorikan sebagai VOC adalah 7,734 kes dan VOI (20), sekali gus menjadikan jumlahnya mencecah 7,754 kes,” katanya menerusi kenyataan berhubung Situasi Semasa Jangkitan COVID-19, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhan daripada 7,734 kes VOC itu, sebanyak 6,537 kes adalah varian Delta, manakala Omicron (950), Beta (233) dan Alpha (14).
Bagi kes VOI pula, katanya, terdapat 13 kes varian Theta, Kappa (empat) dan Eta (tiga).
Justeru, beliau berkata, KKM menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan ditetapkan, iaitu mengelakkan 3S (kawasan sesak, sempit dan sembang pada jarak dekat).
“Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mengamalkan 3W, iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) serta mematuhi amaran daripada KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn),” katanya, - Getaran, 19 Februari 2022
