MFL sedia bantu Perak FC

Football
16 Feb 2022 • 5:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) sedia membantu Perak FC yang dikenakan sekatan pengambilan pemain baharu oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya memahami kesulitan dialami skuad The Bos Gaurus itu dan bersedia memberi pertimbangan sewajarnya termasuk ‘pengecualian’ kepada Perak FC sekiranya kuota pemain tidak mencukupi.

Beliau berkata, ini bagi memastikan pasukan itu dapat beraksi dalam musim baharu Liga Premier yang dijadual bermula 5 Mac ini supaya masa depan pasukan dan pemain tidak terkubur begitu sahaja.

Berdasarkan peraturan pertandingan, Stuart menjelaskan sesebuah pasukan perlu mempunyai minimum 20 pemain hingga jumlah maksimum 30 pemain untuk beraksi dalam kancah saingan bola sepak tempatan.

"Di dalam peruntukan, tak boleh daftar pemain baru tempatan atau luar, bermakna Perak FC terpaksa bermain dengan pemain sedia ada termasuk mereka dari Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia musim lepas.

Perak FC dikenakan hukuman oleh FIFA selepas gagal menjelaskan tunggakan hutang berjumlah RM1.7 juta yang melibatkan tuntutan gaji beberapa bekas tonggak import serta pembayaran kepada ejen pemain.

Ia melibatkan bekas pemain import mereka iaitu Jeon Hyo Seok, Leandro dos Santos dan Raianderson da Costa Morais selain turut berhutang kepada ejen Leandro dan Raianderson.

Perak FC juga berdepan kemungkinan tidak mempunyai kuota pemain yang cukup untuk bermain dalam musim baharu memandangkan jendela pendaftaran pemain baharu Liga-M akan ditutup pada 22 Februari ini. - Bernama