Ramai Ragu-Ragu Ambil Dos Penggalak, KKM Perlu Tangani Golongan 'Booster Hesitancy' 

Health & Fitness
9 Feb 2022 • 8:09 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seramai 12,473,139 atau 53.3 peratus individu dewasa di negara ini telah menerima suntikan dos penggalak COVID-19 setakat semalam. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kadar pengambilan dos penggalak dalam kalangan penduduk dewasa di negara ini masih di tahap rendah, walaupun suntikan berkenaan sudah diberikan bermula Oktober tahun lalu.

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW, seramai 12,473,139 atau 53.3 peratus individu dewasa di negara ini telah menerima suntikan dos penggalak COVID-19 setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula mendedahkan, 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac masih belum mendapatkan dos penggalak.

Katanya, golongan tersebut antara berisiko terdedah kepada jangkitan varian Omicron kerana Sinovac adalah vaksin yang keberkesanannya paling cepat menurun.

Di mana silapnya kadar pengambilan dos penggalak masih di bawah kadar yang memuaskan?

Persoalan itu masih lagi menjadi teka-teki sehingga hari ini.

image is not available
Dr Zainal Ariffin Omar

Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For COVID-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar turut mengakui dos penggalak vaksin COVID-19 kurang mendapat sambutan ketika ini.

Beliau berkata, hampir 50 peratus individu dewasa yang digelar sebagai ‘booster hesitancy’ masih teragak-agak untuk mengambil suntikan tersebut.

“Memang betul sekarang sangat slow. Kalau dulu kebanyakan yang menolak vaksin adalah golongan anti vaksin tapi sekarang kita panggil ‘booster hesitancy’.

“Kumpulan itu terdiri daripada mereka yang ragu-ragu dengan dos penggalak. Jumlah tersebut amat besar, hampir 50 peratus,” katanya kepada Getaran, hari ini.

Menurut Dr Zainal Ariffin, kumpulan tersebut kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional termasuk pakar perubatan.

Justeru, beliau menyarankan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan satu pendekatan khusus dalam meyakinkan golongan tersebut supaya mengambil dos penggalak.

“KKM kena tackle kumpulan ini kerana mereka berbeza dengan golongan anti vaksin. Mereka bukan baca Google atau Facebook tapi jurnal yang ada bukti mengenai dos penggalak.

“Kenapa mereka tak mahu ambil? Mesti ada sebabnya. Jadi KKM kena dekati kumpulan ini dengan pendekatan berbeza daripada apa yang dilakukan terhadap golongan anti vaksin,” katanya.

Pada masa sama, Dr Zainal Ariffin berkata, gelombang Omicron yang membadai negara ketika ini dapat diredakan jika sekurang-kurangnya 80 peratus populasi penduduk menerima suntikan dos penggalak.

“Tahap antibodi selepas dos kedua vaksin COVID-19 menurun dengan pantas terutamanya penerima Sinovac. Jadi dos penggalak berperanan meningkatkan semula tahap antibodi dalam badan. 

“Jika imuniti rakyat Malaysia kembali pada tahap optimum dengan pemberian dos penggalak kepada 80 peratus penduduk, bilangan kes baharu akan naik seketika dan menurun selepas itu,” katanya.

Bagi mencapai tahap imuniti optimum, beliau menasihati orang ramai terutama golongan rentan supaya mengambil dos penggalak dengan segera.

“Sekarang kita tengok statistik harian banyak kes kategori 1 dan 2 iaitu mereka yang tidak mempunyai gejala dan hanya mengalami gejala ringan. 

“Hanya sedikit sahaja kes serius. Ini yang kita nak elakkan. Jadi ambillah dos penggalak untuk mengelak risiko gejala lebih teruk akibat jangkitan COVID-19,” katanya.

image is not available
Dr Malina Osman

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam (epidemiologi dan biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, pengambilan dos penggalak agak perlahan disebabkan beberapa faktor.

Antaranya menurut beliau, ada individu berpendapat tidak perlu mengambil dos penggalak kerana beranggapan dua dos primer sudah mencukupi.

Malah katanya, ada juga bimbang dengan kesan sampingan selepas divaksin sebagaimana pernah dilalui sebelum ini, selain terpengaruh dengan maklumat tidak sahih mengenai suntikan tersebut.

“Saya nasihatkan golongan ini supaya mendapatkan maklumat mengenai dos penggalak daripada sumber yang sahih atau dapatkan pandangan daripada pakar barisan hadapan. Jangan percaya saranan yang bukan-bukan. Kita perlu mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus populasi rakyat terutamanya golongan berisiko tinggi dijangkiti untuk menerima suntikan dos penggalak. 

“Jika pengambilan suntikan itu kekal rendah, golongan tersebut berisiko mendapat komplikasi teruk jangkitan COVID-19,” katanya. - Getaran, 9 Februari 2022