
JOHOR BAHRU: Calon dari parti Gerakan yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas tiket Perikatan Nasional (PN) telah menandatangani Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) bagi mengelak berlakunya isu lompat parti.
Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai(gambar) berkata Akuan Bersumpah itu adalah prosedur yang perlu dilalui oleh semua anggota dan pemimpin parti itu.
“Mengapa kita hendak buat Statutory Declaration, ini adalah satu prosedur yang kita mesti lalui untuk mengelakkan apa-apa berlaku seperti isu lompat parti.
“Memang bagi Gerakan, pendirian kita jelas bahawa kita tidak mahu anggota Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri kita lompat parti. Saya ingat pemimpin Gerakan yakin sepenuhnya bahawa mereka tidak akan melompat,” katanya ketika mengumumkan calon Gerakan pada PRN Johor hari ini.
Selain surat Akuan Bersumpah, Domicin berkata kesemua calon Gerakan juga dikehendaki menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Adun sekiranya mereka keluar parti dan menyertai parti lain.
Mengenai calon Gerakan pada PRN Johor, mantan Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Koo Shiaw Lee diumumkan sebagai calon di Perling manakala penasihat Mahkamah Juvana daerah Pontian Datuk Tan Chin Hock pula dipilih sebagai calon di Pekan Nanas.
Selain itu, aktivis masyarakat Youis Yap (Stulang), Susan Yong (Yong Peng), Eddy Tan Kok Hong (Bentayan) manakala ahli perniagaan Datuk Dr Ker Ching Sheng (Johor Jaya), Loh Kah Yong (Puteri Wangsa) dan Tan Heng Choon (Bukit Batu).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Gerakan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi DunPemanis dan Bukit Batu tetapi kalah di kedua-dua kerusi terbabit dan kemudiannya mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun 2018.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai tarikh penamaan calon untuk PRN Johor, pengundian awal pada 8 Mac dan hari pengundian pada 12 Mac. -Bernama
