Terlalu Awal Buka Sempadan Negara Sepenuhnya, Tanpa Kuarantin

9 Feb 2022 • 8:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pakar kesihatan menyifatkan cadangan pembukaan sempadan negara tanpa mewajibkan kuarantin mulai Mac depan sebagai tidak wajar. - Gambar fail

KUALA LUMPUR  Pembukaan sempadan negara tanpa mewajibkan kuarantin bermula Mac depan seperti dicadangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN), dianggap tidak wajar dilaksanakan buat masa ini, khususnya dalam situasi kes pandemik COVID-19 semakin meningkat.

Pakar Virologi Molekul, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Nazlina Ibrahim, berkata cadangan itu juga disifatkan terlalu awal ketika kerajaan masih giat membendung penularan virus berkenaan.

Tegasnya, walaupun kesan jangkitan Omicron dilaporkan tidak berbahaya dan kadar kematiannya rendah berbanding varian COVID-19 lain, terutama Delta, tetapi banyak perkara perlu dikaji sebelum keputusan serta pengumuman mengenai pembukaan sempadan dimuktamadkan.

“Keputusan atau gesaan mahu membuka sempadan dengan tiada kuarantin, pada saya ini bukan masa terbaik. Saya  cadangkan tunggu dahulu dalam dua atau tiga minggu lagi sebelum mengumumkan kesesuaian membuka sempadan.

“Sebab kita perlu tengok keadaan hospital bagaimana apabila kes semakin meningkat. Walaupun Omicron dilaporkan tidak terlalu bahaya, tetapi kesan sampingan bagi jangka masa panjang perlu diambil kira,” katanya kepada Getaran.

image is not available
Dr Nazlina Ibrahim

Ditanya kesan dihadapi sekiranya kerajaan menerima cadangan itu, Dr. Nazlina berkata, ia dibimbangi terus mengakibatkan COVID-19 merebak dan meningkatkan kes harian virus terbabit.

Katanya, seperti diketahui, Omicron sangat mudah berjangkit, justeru sekiranya tiada kuarantin wajib dilakukan, tahap kebolehjangkitan mampu menjadi sangat tinggi.

Nazlina berkata, sifat Omicron yang bergejala ringan atau adakala tidak menunjukkan apa-apa simpton, menyukarkan orang ramai mengetahui jika diri atau orang sekeliling dijangkiti virus itu.

“Sekiranya cadangan MPN dilaksanakan kerajaan, sebagai rakyat kita terpaksa akur, namun saya menasihatkan masyarakat tidak culas untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Dalam keadaan semua sektor sudah dibenarkan beroperasi ketika ini dan orang ramai boleh bergerak bebas ke mana-mana, terdapat segelintir mereka yang tidak mematuhi SOP, seperti tiada amalan penjarakan sosial,” katanya.

Menerusi pengumumannya semalam, MPN mencadangkan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib bermula Mac.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menegaskan, pembukaan sempadan itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Cadangan itu dibuat selepas pihaknya mempertimbangkan kertas cadangan berhubung perkara terbabit daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Muhyiddin berkata, cadangan itu akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk diputuskan. - Getaran, 9 Februari 2022.