Pernah Terfikir Bagaimana Untuk Menjadi Youtuber Yang Berjaya?

Digital
21 Feb 2022 • 12:00 PM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Sumber: CNET

Korang pernah tak terfikir bagaimana seorang Youtuber boleh berjaya dan buat duit melalui Youtube? Mari kita fikir situasi 20 tahun lepas. Gelaran “Youtuber” atau social media creator tak pernah didengari. Bayangkan kita beritahu ibu bapa kita yang kita nak jadi seorang Youtuber atau content creator, pasti cita-cita kita tu ditolak mentah-mentah. Silap-silap, ibu bapa pun tak faham apa pekerjaan tersebut dan akhirnya suruh jadi doktor, jurutera, peguam ataupun akauntan (pilihan tipikal ibu bapa Asia).

Ditubuhkan oleh tiga anak muda pada tahun 2005, Youtube pada mulanya hanya sebuah laman web pengehosan video di Amerika Syarikat. Waktu tu, kebanyakan orang hanya memuatnaik video peribadi tanpa objektif yang khusus, melainkan untuk berkongsi video sendiri secara suka-suka. Tapi, menginjak masuk ke tahun 2010-an, Youtube mulai menjadi salah satu platform yang terkenal dan digunakan oleh ramai orang di seluruh pelosok dunia. Dalam masa yang singkat, Youtube dikenali sebagai sebuah platform “lubuk duit” sehingga ramai orang sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk merakam aktiviti sendiri dan memproses video supaya tampak menarik untuk mendapatkan lebih ramai penonton dan pengikut.

Siapakah 5 Youtuber paling berjaya dan mempunyai pengikut tertinggi di Youtube pada tahun lepas (2021)?

  • PewDiePie, 110 juta pengikut
  • Kids Diana Show, 81.4 juta pengikut
  • Like Nastya, 76.5 juta pengikut
  • Vlad and Niki, 70.1 juta pengikut
  • Mr. Beast, 65.2 juta pengikut

Harini, saya nak bercerita tentang Mr. Beast dan apa yang dilakukannya untuk mendapatkan jumlah pengikut yang tinggi dan keuntungan yang banyak dalam masa yang singkat.

Pertama sekali, mari kita kenali siapa Mr. Beast. Dilahirkan pada tahun 1998, nama sebenar Mr. Beast ialah Jimmy Donaldson. Dia mula-mula berkecimpung dalam dunia “Youtube” semenjak umurnya 13 tahun. Tapi, selama dua tahun Youtube dia sendu je. Pengikutnya cuma berjumlah beberapa ribu sahaja dan video yang dimuat naiknya tidak konsisten.

Tapi, selepas dia menukar rangka kerjanya, naik melonjak-lonjak jumlah pengikut dan tontonan video-videonya di Youtube. Apa rahsianya? Tiada rahsia pun cuma mungkin saya boleh pecahkan rangka kerjanya kepada tiga perkara:

  1. Pikat perhatian penonton

Pertama sekali, walaupun perkara ini kadang kala diambil remeh, ia sebenarnya perkara paling asas di Youtube iaitu “thumbnail” video. “Thumbnail” Mr. Beast kebanyakannya menarik kerana menggunakan warna-warna yang menyerlah atau gambar yang besar dan kelakar.

Tajuk video yang dimuatnaik juga memainkan peranan. Mr. Beast suka meletakkan nombor-nombor yang besar dan tak masuk akal. Ini membuatkan orang tertarik dan berminat untuk sekurang-kurangnya menekan satu video (walaupun jika penonton tersebut pada mulanya fikir dia akan tonton sekejap saja).

  1. Kekalkan perhatian penonton

Sekarang, bila penonton dah “termakan” jerat dengan gambar yang menarik atau tajuk yang tak masuk akal tu, pastikan video itu sendiri mempunyai isi yang akan membuatkan penonton-penonton tersebut terus menerus menonton video tanpa klik butang “X”.

Bagaimana? Buatlah video yang berkualiti tinggi (HD), gunakan dialog yang ringkas tetapi padat dan paling penting, keluarkan perangai “gila-gila” anda untuk menggembar gemburkan lagi video tersebut.

Mr. Beast tahu jika suatu video dapat mengambil perhatian seseorang dalam 5 saat yang pertama, selalunya orang itu akan terus kekal menonton video tersebut sampai habis. Youtube pula sangat suka perkara begini dan algoritmanya akan mengutamakan video-video dimana purata masa tontonannya tinggi. Sebab tu Mr. Beast akan terus menerus merangsang perhatian penonton-penontonnya sampai habis.

  1. Berikan hiburan yang diluar jangkaan

Salah satu video Mr. Beast yang paling tak masuk akal adalah video Squid Gamenya. Mr. Beast berbelanja besar dengan membina “set” seperti dalam drama Korea Squid Game, mengambil 456 peserta untuk menyertai permainan ala Squid Gamenya dan meletakkan jumlah wang terkumpul $456,000 bagi pemenang terakhir. Maksudnya, Mr. Beast sendiri yang keluarkan duit untuk sewa tapak, pasang set permainan seperti dalam drama Squid Game serta wang terkumpul sebanyak $456,000.

Walaupun nampak besar wang yang dibelanjakan Mr. Beast, tapi selepas video ini dimuatnaik ke Youtube, Mr. Beast berjaya mengaut keuntungan lebih daripada $1,000,000 dalam masa 5 hari sahaja! Tahun lepas (2021), Mr. Beast menjadi “superstar” Youtube paling berjaya dengan hasil keuntungan sebanyak $54,000,000.

Untuk menjadi “jutawan Youtube” bukanlah suatu perkara luar biasa yang tidak boleh dicapai dek akal, tetapi ia memerlukan dedikasi dan disiplin yang tinggi dalam mengekalkan objektif sebagai seorang Youtuber. Satu perkara yang patut dicontohi tentang Mr. Beast ialah kecekalannya untuk menghasilkan “video Youtube yang terbaik” tanpa mengaku kalah. Dia sanggup menggunakan semua hasil keuntungannya dari Youtube untuk mendapatkan gajet-gajet yang lebih berkualiti dan terbaik supaya selepas itu dapat dia hasilkan video-video yang lebih baik dan menarik perhatian di Youtube juga.

Selamat berjaya dalam kerjaya pilihan anda!


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.