Isu parkir HRPB: Kerajaan negeri akan cari jalan penyelesaian

9 Feb 2022 • 8:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri serta pihak pengurusan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berhubung isu parkir bertingkat yang menjadi rungutan orang ramai sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan mencari jalan penyelesaian berhubung isu parkir bertingkat di HRPB yang hanya disediakan untuk kakitangan hospital itu sahaja walaupun pada tujuan ia dibina adalah bagi kegunaan pengunjung.

"Kerajaan negeri perlu campur tangan jika masalah parkir tersebut mendatangkan kesulitan kepada rakyat. Sudah tentu mereka akan utamakan kakitangan.

"Cuma kita tidak pasti sama ada bilangan parkir itu ada lebih atau tidak untuk kegunaan pengunjung hospital, itu kita perlu semak," katanya.

Beliau mengulas isu parkir bertingkat yang didakwa pengunjung hanya untuk kakitangan hospital dan mereka meminta pihak kerajaan negeri menyelesaikan secepat mungkin isu parkir yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Sebelum itu, Saarani melancarkan Pelan Perancangan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ipoh Bandar Rendah Karbon dan Walkable City 2030 yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin di sini pada Rabu.

Ketika berucap, beliau berkata, pelan perancangan strategik itu merupakan garis panduan dalam memastikan segala perancangan dapat direalisasikan sejajar dengan agenda global, Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan.

"Pelan Perancangan Strategik MBI 2021-2030 ini dibangunkan dengan kerjasama Unit Permodenan Tadbir dan Perancangan Pengurusan Malaysia, dan ia merupakan komponen terpenting dalam usaha merangka dasar, menentukan strategi dan pelan tindakan berorientasikan hala tuju Ipoh," katanya.

Saarani turut mengumumkan bahawa ‘Ipoh Bestari Sejahtera’ bakal menggantikan slogan ‘Ipoh Bersih Hijau dan Maju’ selari dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 iaitu Perak Makmur, Rakyat Sejahtera. - Bernama