Covid-19: Jumlah kes harian di Sabah diramal terus berada pada paras tinggi

18 Feb 2022 • 3:34 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Melihat kepada jumlah jangkitan sporadik dalam komuniti yang amat tinggi ketika ini, adalah diramal jumlah kes harian akan terus berada dalam paras yang tinggi dalam masa terdekat, kata jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata jumlah jangkitan sporadik pada Khamis ialah 3,076 kes atau hampir 64.2 peratus dari jumlah jangkitan harian 4,794 kes.

“Bilangan kluster di seluruh Sabah juga meningkat kepada 41 pada Khamis, berikutan pertambahan tiga kluster baharu, kesemuanya kluster institusi pendidikan,” katanya sebelum menambah tiga kluster baharu itu ialah Kluster Batu Enam di Kota Belud, Kluster Jalan Sugut di Ranau dan Kluster Kemburongoh 2, juga Ranau.

“Satu kluster ditamatkan pada hari ini iaitu Kluster Jalan Kepayan Tambunan yang melibatkan SMK Tambunan, kluster institusi pendidikan yang pertama dikesan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kluster Batu Enam di Kota Belud melibatkan pelajar asrama SMK Taun Gusi 2 yang menyaksikan jumlah kumulatif 19 kes positif, setakat Khamis.

Sebanyak 49 kes dikesan dari Kluster Jalan Sugut di Ranau setakat ini, melibatkan warga SMK Ulu Sugut.

Kluster Kemburongoh 2 pula melibatkan warga SMK Kemburongoh. Setakat Khamis, kluster itu mencatat angka kumulatif 54 kes. Sementara itu, bilangan pesakit sembuh pada Khamis ialah 1,708 orang manakala 2,889 lagi sedang menerima rawatan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.