
KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas maut selepas Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) dipandunya terjunam ke dalam gaung sejauh 25 meter di Jalan Ranau Bypass berhampiran Kampung Tambatuon di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa dikenali Tambunan Asang, 75, yang memandu MPV jenis Toyota Unser disahkan meninggal dunia akibat cedera parah pada bahagian kepala serta anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain ketika mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kiau Taburi dari pekan Kota Belud.
“Apabila tiba di lokasi, mangsa yang seorang diri ketika itu gagal mengawal kenderaannya menyebabkan ia terjunam ke dalam gaung di kiri jalan.
“Orang awam yang menyedari kejadian itu segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Pasukan bomba menemui mangsa dalam keadaan tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mayat mangsa dari dalam kenderaan sebelum dibawa naik menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis.
“Pihak polis kemudian menghantar mayat lelak itu ke bahagian forensik hospital Kota Belud bagi tujuan bedah siasat.
“Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
