UniKL perkasa TVET melalui kongsi sumber, kepakaran

6 Feb 2022 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PUTRAJAYA - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersedia memainkan peranannya untuk memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan berkongsi sumber, kepakaran dan peralatan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, tiga institusi pendidikan TVET Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), UniKL terlibat di bawah inisiatif Hub Kolaboratif TVET

Institusi terlibat ialah UniKL-Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL-MIAT) di bawah Kluster Integrasi Sistem Avionik dan Komunikasi Satelit, manakala UniKL Malaysia France Institute (UniKL MFI) dan Pusat Rel Asia UniKL di bawah Kluster Automasi dan Robotik Industri.

"UniKL bersedia memainkan peranan yang dimandatkan, dalam memacu kolaborasi bersinergi antara institusi TVET, kerajaan dan industri menerusi perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan bagi pemerkasaan TVET,” katanya.

Pada 3 Februari, mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersetuju dengan pelaksanaan ‘TVET Collaboration Hub’ melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut Mahdzir, KPLB mempunyai 279 institusi pendidikan TVET di seluruh negara yang mempunyai kekuatan dan mengikut padanan dengan keperluan industri.

Beliau berkata, kolaborasi TVET KPLB dengan pihak industri, dijalinkan melalui pemeteraian 227 memorandum persefahaman (MoU) yang berstatus aktif.

Kolaboratif merangkumi pembekalan teknologi terkini, kepakaran dan latihan secara profesional, pembangunan program, tenaga pengajar dan pelatih, pemindahan teknologi dan pengetahuan, peningkatan kemahiran dan latihan semula.

"Kolaborasi ini akan memastikan semua pelatih TVET KPLB dilengkapi kemahiran kebolehpasaran yang tinggi, mengikut keperluan industri dengan kadar upah yang tinggi,” katanya. - Bernama