Perkukuh GRS sebelum terima parti baharu

Politics
23 Feb 2022 • 12:34 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti baharu yang berhasrat untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti menunjukkan aspirasi dan motivasi politik mereka serta sumbangan jangka panjang yang tulus dan ikhlas kepada gabungan tersebut, kata Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai.

Sehubungan itu, beliau berkata, fokus utama GRS seharusnya untuk mengukuhkan lagi hubungan erat antara ahli parti pengasas sedia ada sebelum mempertimbangkan menerima parti baharu.

“GRS kini dalam proses pendaftaran secara rasmi berikutan kejayaan parti- parti pengasas memenangi pilihan raya negeri ke-16 tahun lalu, maka gabungan ini harus mengekalkan rakan kongsi asal yang telah membuktikan komitmen serta perjuangan mereka,” katanya dalam kenyataan, Selasa.

Parti-parti itu ialah Perikatan Nasional Sabah, Barisan Nasional Sabah dan PBS.

“Walaupun kami mengalu-alukan sokongan daripada semua rakyat Sabah, tetapi kita tidak boleh tergesa-gesa untuk membentuk pakatan dengan parti-parti baharu di mana kesetiaan dan semangat rakan kongsi masih belum dibuktikan,” tambah Joniston, yang juga Ketua Penerangan GRS.

Bercakap bagi pihak Biro Politik PBS, yang baru sahaja berbincang mengenai pendirian parti itu mengenai hasrat permohonan ahli GRS baharu, Joniston mengulas pengumuman bekas naib presiden Parti Warisan Datuk Peter Anthony akan hasrat parti baharu pimpinan beliau iaitu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM,) yang baru didaftarkan, memohon menyertai gabungan politik di Sabah itu.

Peter, yang juga Adun Melalap telah meletak jawatan daripada Parti Warisan pada Disember tahun lepas, mengatakan parti itu telah tersasar daripada perjuangan terasnya apabila ia mengembangkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

Joniston, yang juga Adun Kiulu, menegaskan bahawa parti baharu yang berhasrat untuk menyertai GRS mesti menunjukkan aspirasi dan motivasi politik mereka serta sumbangan jangka panjang yang tulus dan ikhlas kepada gabungan tersebut.

“Sebarang keputusan untuk menerima parti baharu, termasuk yang telah mengisytiharkan mesra GRS, ke dalam gabungan itu mesti mendapat kata sepakat daripada semua rakan kongsi sedia ada.

“Lagipun, individu yang menerajui parti-parti ini (yang berhasrat untuk menyertai GRS) adalah lawan politik kita lebih setahun lalu.

“Oleh itu, adalah menjadi keutamaan kita untuk menjaga rakan kongsi asal di samping mengukuhkan lagi perpaduan dalaman kita.

“Apa yang kita mahu lihat ialah gabungan yang dibina berasaskan kepercayaan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan masa depan negeri,” katanya.

Tegasnya, PBS percaya kepada kebijaksanaan pengerusi GRS dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam memastikan keharmonian di kalangan semua rakan pengasas GRS kekal pada tahap tertinggi.

Sebagai parti politik tempatan yang terbesar dan tertua di Sabah, Joniston menegaskan PBS telah dan akan terus bekerja tanpa henti untuk mengukuhkan GRS.

“Ini dapat dilihat dalam lonjakan permohonan keahlian PBS serta pembukaan cawangan-cawangan baharu,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.