Kaka Azraff Selamat Lahirkan Bayi Kedua Pada 2.2.2022

22 Feb 2022 • 2:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Penyanyi popular Kaka Azraff, 33, yang juga merupakan Wajah TARA pertama Getaran telah selamat melahirkan bayi lelaki keduanya pada jam 12.05 tengah malam tadi.

Berita gembira itu dikongsikan penyanyi lagu ‘Gila’ ini di akaun media sosialnya termasuklah Twitter dan Instagram.

“Syukur pada Allah. Saya secara rasminya menjadi ibu kepada dia orang anak. 22.2.22 jam 00.05 pagi,” tulisnya dalam ciapan di Twitter. 

Dalam satu ciapan yang lain, Kaka turut berterima kasih kepada suaminya, Adam Adzriff yang selama ini sentiasa ada di sisi untuk menyokongnya.

“Kita berjaya mengharunginya sayang. Alhamdulillah syukur, terima kasih kerana menjadi penyokong terbaik, pemberi motivasi dan doktor sambilan sepanjang perjalanan kehamilan ini. Saya tak tahu apa akan jadi tanpa awak. Saya sayang awak, Daddy of two,” tulisnya. 

Kaka turut berkongsi gambar mereka bertiga namun wajah bayinya tidak didedahkan kepada umum.

Pasangan ini berkahwin pada 14 Disember 2018 dan hasil perkongsian hidup mereka telah dikurniakan seorang putera iaitu Aslan yang kini berusia 3 tahun. 

Tahniah diucapkan kepada Kaka dan Adam. Semoga kehadiran cahaya mata kedua ini dapat menceriakan lagi kehidupan kalian sekeluarga. Selamat berpantang. - Getaran, 22 Februari 2022 

Gambar : Twitter