Polis Kuala Langat rampas 135 mesin bitcoin

11 Feb 2022 • 9:16 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Polis merampas 135 unit mesin bitcoin menerusi serbuan di dua rumah kedai sekitar Banting petang semalam selepas mengesyaki berlaku kegiatan mencuri bekalan elektrik untuk perlombongan bitcoin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat daripada pihak Tenaga Nasional Bhd yang mendapati terdapat bacaan meragukan pada meter kedua-dua premis berkenaan dan mengesyaki ada berlaku kecurian elektrik disebabkan kegiatan berkenaan.

Selain mesin bitcoin, beliau berkata pihaknya turut merampas beberapa peralatan komputer dan modem.

“Semasa serbuan dijalankan, tiada penjaga premis yang berada di kedua-dua premis tersebut dan polis sedang berusaha untuk mengesan penyewa dan pemilik premis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata aktiviti haram tersebut dipercayai telah dijalankan selama lebih kurang sebulan.

Katanya polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap semua premis yang menjalankan aktiviti bitcoin secara haram serta mencuri elektrik sehingga menyebabkan pihak TNB mengalami kerugian.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan khianat ke atas elektrik yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-Bernama