Dakwaan Wujud ‘UMNO Soleh’ Hanya Mahu Pecah-Belahkan BN

Politics
7 Feb 2022 • 6:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyangkal dakwaan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan kononnya wujud golongan ‘UMNO Soleh’ yang mahu mengembalikan parti itu kepada landasan yang betul.

image is not available
Dr Shamsul Anuar Nasarah

Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu menegaskan, kenyataan tersebut hanya mahu memecah belah serta memburukkan UMNO dan BN.

“Mudah dibaca apabila Ketua Penerangan BERSATU berterusan memburukkan UMNO dan BN dengan menggunakan gelaran ‘Kluster Mahkamah’ serta terbaru ‘Kumpulan Soleh’ dalam UMNO. Ini hanya mahu memecahbelah kita.

“Namun saya ingin nyatakan, sebutlah apa pun gelaran yang BERSATU suka, UMNO dan BN akan kekal fokus memperkukuhkan parti di samping bekerja kuat untuk memenangi hati rakyat, bagi memastikan kita memperoleh mandat rakyat dalam membentuk kerajaan stabil di Johor,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Wan Saiful mendakwa dihubungi wakil daripada kumpulan ‘UMNO Soleh’ yang dilihat mempunyai sikap berbeza dengan pucuk pimpinan parti itu.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan butiran dakwaan  tersebut.

Pada masa sama menurutnya, pemimpin yang disifatkan baik itu tidak seharusnya menegur pihak luar semata-mata, tetapi juga  pimpinan tertinggi UMNO.

“Hakikatnya ada pelbagai kluster dalam BERSATU. Jangan ingat rakyat bodoh dan tidak tahu.

“UMNO serta BN sangat yakin rakyat bijak menilai,” katanya. – Getaran, 7 Februari 2022.