
KUALA LUMPUR - Penularan pandemik COVID-19 di Malaysia sejak tahun 2020 menyaksikan pelbagai aktiviti terjejas, termasuk kemasukan pengembara untuk tujuan melancong apabila sempadan negara ditutup.
Namun kelmarin, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan bahawa kerajaan optimis untuk membuka semula pintu masuk Malaysia dalam masa terdekat, yang menyaksikannya menerima reaksi berbeza rakyat.
Menerusi pemerhatian, segelintir mereka menganggap keputusan ingin dilaksanakan secara berperingkat itu dengan keutamaan diberikan kepada pengembara dari negara jiran dan Asia, sebagai khabar gembira untuk merancakkan kembali sektor pelancongan serta menggalakkan ekonomi.
Sebahagian pula bimbang langkah itu boleh mengundang bahaya memandangkan kes pandemik COVID-19 belum pulih, malah kembali meningkat sehingga lima digit sejak beberapa hari lalu dan terus melonjak kepada 22,133 semalam.
Menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Profesor Dr Mohamed Rusli Abdullah, idea pembukaan sempadan negara harus dipertimbang dengan keperluan tertentu agar kesejahteraan rakyat dan negara akan terus pulih serta bertambah baik.

Katanya, perkara itu boleh mengelakkan sektor utama, terutama ekonomi kekal terkesan dan bangkit kembali.
Beliau berkata, pertimbangan itu adalah berdasarkan perkembangan semasa data epidemiologi yang menunjukkan kemampuan sistem kesihatan negara dalam menangani penularan COVID-19.
Katanya, data dilaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini menunjukkan bahawa program vaksinasi dan pengambilan suntikan dos penggalak di Malaysia berada pada tahap memberangsangkan.
“Seramai 78.8 peratus penduduk Malaysia berumur 12 tahun dan ke atas menerima dos lengkap vaksin COVID-19, manakala 52.8 peratus yang berumur 18 tahun dan ke atas menerima dos penggalak vaksin COVID-19.
“Berdasarkan data terkini, dos penggalak memberi perlindungan dan mereka yang menerima vaksin lengkap pada asasnya masih mendapat perlindungan lebih baik terhadap gejala serta komplikasi teruk virus terbabit,” katanya.
Dr Mohamed Rusli yang juga Pakar Perunding Kanan Epidemiologi Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, data harian menunjukkan individu belum menerima vaksin COVID-19 adalah sembilan kali lebih berkemungkinan dijangkiti virus itu dan 62 kali lebih berisiko mengakibatkan kematian, berbanding individu lengkap imunisasi atau mengambil dos penggalak.
“Ini turut disokong data menunjukkan kebanyakan kes positif direkodkan adalah tidak bergejala atau bergejala ringan dalam kategori klinikal 1 dan 2, selain daripada jumlah kes pada Minggu Epid 5, sebanyak 42,727 atau 99.2 peratus adalah kategori 1 dan 2 serta hanya 335 (0.8 peratus) adalah kategori 3 hingga 5.
“Ketersediaan katil di unit rawatan rapi (ICU) juga berada pada tahap memuaskan dengan kadar penggunaannya adalah 14 peratus dan tidak membebankan buat masa ini, justeru cadangan membuka sempadan boleh dipertimbangkan,” katanya kepada Getaran.
Bagaimanapun, Dr Mohamed Rusli berkata, pembukaan pintu masuk itu perlu disusuli dengan langkah penambahbaikan dalam memperkasakan penguatkuasaan pemeriksaan kesihatan di sempadan negara.
Jelasnya, langkah itu adalah memastikan kesiapsiagaan dan bilangan pegawai bertugas mencukupi bagi mempercepatkan proses pemeriksaan kesihatan serta membolehkannya dilaksanakan secara teratur.
Sistem pengurusan sijil vaksinasi melalui MySejahtera pula katanya, perlu diperkasakan agar lebih pantas dan responsif bagi menampung pertambahan pelancong yang ingin mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut berkaitan.
“Pelancong perlu mempunyai akses kepada informasi prosedur operasi standard (SOP) terkini dan lengkap, termasuk jenis vaksinasi diterima pakai bagi memasuki Malaysia serta arahan semasa dikuatkuasa kerajaan.
“Petugas barisan hadapan di pintu masuk juga hendaklah terlatih supaya mempunyai pengetahuan terkini berkaitan polisi dan SOP, malah konsisten dalam menangani peningkatan jumlah pengembara apabila sempadan di buka,” katanya.
Mengulas isu sama, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, langkah itu boleh dilaksanakan dengan melihat kepada perkembangan terkini kes COVID-19 dengan memfokuskan kepada jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital, bilangan dirawat di ICU, angka kematian dan kadar keseriusan kategori kes.

Ujarnya, jumlah kes positif harian pandemik itu bukan indikator utama atau kayu pengukur bagi menentukan sama ada negara boleh bertukar ke fasa endemik atau sempadan perlu dibuka atau sebaliknya.
Dalam situasi varian Omicron yang lebih pantas merebak, katanya, jumlah kes akan terus meningkat walaupun kerajaan memilih untuk tidak membuka sempadan negara kepada pengembara.
“Sekarang atau nanti, sempadan memang akan dibuka jadi pengumuman kerajaan itu boleh dilaksanakan, tetapi buat masa ini kena fokus kepada jumlah kes serius, bukan jumlah setiap hari.
“Selagi kes serius ini masih terkawal, saya rasa tak ada isu untuk buka sempadan dan ia bukan sesuatu yang membimbangkan sebab akhirnya memang kena laksanakan tindakan itu untuk menuju fasa endemik,” katanya.
Dr Halimatus Sakdiah berkata, kerajaan harus memastikan keputusan membuka sempadan negara ‘boleh diterbalikkan’ sekiranya kadar kes serius atau kematian membabitkan pesakit COVID-19 meningkat dari semasa ke semasa.
“Boleh buka sempadan dahulu tetapi kerajaan kena ada persediaan untuk kemungkinan kes meningkat, contohnya bila kes kematian tiba-tiba sangat tinggi, keputusan membuka sempadan perlu ditarik semula buat sementara.
“Mungkin bukan perlu tutup kepada pengembara semua negara, sebaliknya mengikut mana-mana negara yang menunjukkan kes serius. Jadi kerajaan kena tetapkan kriteria tertentu terlebih dahulu,” katanya. - Getaran, 16 Februari 2022
