
KUALA LUMPUR - Sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka yang dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine kini dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran di media sosialnya berkata, seorang warga Singapura turut dibawa keluar bersama-sama konvoi rakyat Malaysia ke Poland.
"Alhamdulillah sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka telah pun selamat dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, dijangka tiba esok.
"Atas dasar persahabatan dan diplomatik, kita juga membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura bersama-sama rombongan rakyat Malaysia ke Poland," katanya dalam hantaran di Facebook rasminya pada Isnin.
Ismail Sabri berkata, beliau menghargai ucapan terima kasih daripada Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dalam laman facebook rasminya semalam kerana membantu rakyat negara itu keluar dari Kyiv.
"Kita tempuhi bersama sebagai satu keluarga dan bekerja bersama sebagai satu keluarga ASEAN,” katanya
Pada Ahad, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi ciapan di Twitter memaklumkan konvoi yang selamat tiba di Poland awal pagi semalam itu diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud.
Sebelum ini Ismail Sabri dilaporkan berkata, pemindahan baki rakyat Malaysia di Ukraine dilakukan berikutan keadaan tidak menentu di rantau itu. -Bernama

