179 Rumah Setinggan Hangus, 1,000 Penghuni Tinggal Sehelai Sepinggang

17 Feb 2022 • 7:51 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
179 rumah setinggan musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Landung Ayang Laut, semalam. - Gambar ihsan JBPM

KUDAT - Lebih 1,000 penduduk kehilangan kediaman dan tinggal sehelai sepinggang selepas 179 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Landung Ayang Laut, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, keadaan menjadi kelam kabut apabila penduduk kampung mula panik dan cuba menyelamatkan barangan berharga masing-masing, selain ada yang bertindak membasahkan kediaman mereka dengan air laut bagi mengelak api merebak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas ketika dihubungi mengesahkan kebakaran tersebut.

"Pihak kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.26 petang, semalam.

"Susulan panggilan, sepasukan pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi kebakaran yang terletak kira-kira dua kilometer dari BBP Kudat," katanya.

image is not available
Seorang anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di Kampung Landung Ayang Laut, semalam. - Gambar ihsan JBPM

Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar beberapa kediaman penduduk yang diperbuat daripada kayu.

Menurut Ishak, ketika itu sebahagian kediaman telah musnah sepenuhnya.

"Anggota bomba tertugas menggunakan sumber air jentera dan pili bomba bagi memadamkan kebakaran.

"Kami mengambil masa lebih satu jam untuk mengawal kebakaran dan operasi tamat sepenuhnya jam 8.17 malam," katanya.

Operasi tersebut turut mendapat bantuan dari BBP Kota Marudu, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB).

Menurut Ishak, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan sehingga kini pihaknya masih menyiasat punca kejadian serta jumlah kerugian yang ditanggung mangsa. - Getaran, 17 Februari 2022