
KUANTAN - Selepas setahun dilancarkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah, mercu tanda bandar raya Kuantan yang sebelum ini dikenali sebagai Menara Kuantan 188, dijenamakan semula sebagai Kuantan 188, hari ini.
Selain dijenamakan semula, Kuantan 188 turut menerima sijil sebagai ahli rasmi 'World Federation of Great Towers' (WFGT), sekali gus diiktiraf sebagai menara kedua tertinggi di Malaysia.
Majlis penjenamaan semula dan pelancaran logo baharu itu dilakukan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Edmund Santhara serta turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Kamarudin Ibrahim.

Edmund dalam ucapannya berkata, penjenamaan semula ini dijangka dapat meningkatkan imej bandar raya Kuantan sebagai antara destinasi pelancongan pilihan utama di negara ini.
"Selepas tidak beroperasi hampir tujuh bulan, sudah pasti pembukaan semula menara Kuantan 188 pada Disember tahun lalu dapat merancakkan kembali ekonomi setempat.
"Apatah lagi dengan pengiktirafan diterima sebagai menara kedua tertinggi di Malaysia dan menerima sijil daripada WFGT yang memberi nilai tambah kepada imej bandar raya Kuantan," katanya.
Edmund berkata, beliau difahamkan bahawa Kuantan 188 juga akan menjadi mercu tanda pengalaman teknologi 5G, realiti maya dan gaya hidup berasaskan teknologi yang bakal menarik (kedatangan) pelancong dari dalam serta luar negara.
Antara tarikan baharu disediakan di Kuantan 188 ialah aktiviti seperti 'Sky Walk', 'Drop Zone', dan 'Anthena Climb' seperti yang terdapat di Menara Macau dan Taipei 101.
Pihak pengurusan Kuantan 188 juga memberi jaminan, restoran di menara itu akan beroperasi menjelang April ini.
Edmund berkata, sasaran kedatangan pengunjung ke menara itu bagi tahun ini ialah 350,000 orang.
Kuantan 188 adalah mercu tanda strategik dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan kerajaan Pahang.
Dilancarkan secara rasmi pada 1 Februari tahun lalu sempena pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya, projek itu adalah sebahagian daripada siri pembangunan yang dirancang bagi meningkatkan imej daerah berkenaan. - Getaran, 20 Februari 2022
