Iklan di media sosial, sindiket jual kereta klon makin berani

Cars
3 Feb 2022 • 2:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEREMBAN - Sindiket kereta klon kini semakin berani apabila secara terbuka menggunakan platform media sosial untuk mengiklankan kenderaan berkenaan bagi menarik pembeli.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, cara itu dilihat lebih mudah memperdaya mangsa terutama peminat kenderaan mewah.

"Jika dulu sindiket ini buat secara senyap, tapi sekarang mereka iklankan di Telegram dan Facebook yang mana ia lebih mudah diakses orang ramai.

"Lagipun permintaan kenderaan klon ini sentiasa ada dan pembeli sanggup membelakangkan undang-undang asalkan dapat kereta impian dengan harga lebih rendah," katanya ketika sidang akhbar di JPJ Seremban di sini pada Khamis.

Menurutnya, sesiapa saja akan mudah tertarik dengan kereta mewah seperti BMW dan Mini Cooper yang dijual di bawah harga RM20,000.

Beliau berkata, kebanyakan pembeli tahu yang diiklankan itu adalah kereta klon kerana harganya yang tidak munasabah.

"Sejak 2016 hingga kini, terdapat 271 buah kenderaan sita yang masih berada di JPJ Negeri Sembilan dengan 64 buah daripadanya adalah kenderaan klon.

"Pada tahun lalu terdapat empat buah kenderaan klon disita iaitu kereta Suzuki Swift, Volkswagen Golf, Toyota Grandis dan motosikal Yamaha RXZ yang mana ia dikesan ketika operasi JPJ dan aduan awam," katanya.

Sementara itu katanya, kenderaan klon boleh memberi implikasi kepada pemandu atau penumpang jika berlaku kemalangan kerana tidak dilindungi insurans.

Hanif Yusabra berkata, antara kesalahan yang boleh diambil tindakan terhadap pengguna atau individu yang memiliki kenderaan klon adalah menggunakan kenderaan tidak berdaftar, mempamerkan maklumat palsu nombor pendaftaran dan tiada insurans.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, JPJ Negeri Sembilan akan mengadakan lelongan awam kenderaan sita di Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya di Seremban pada 15 Februari depan.

"Sebanyak 83 buah kenderaan yang akan dilelong termasuk lima buah lori dan 25 motosikal.

"Bakal pembida yang telah membeli dokumen lelong sahaja yang dibenarkan mengambil bahagian dalam lelongan tersebut," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved