
Kota Kinabalu: Kerugian RM2 juta akibat kecurian elektrik di Sandakan terjadi ekoran karenah birokrasi oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sendiri, kata Ketua enerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan (gambar).
Merujuk kepada kenyataan SESB yang turut mengaitkan masalah itu berpunca daripada banyak kampung yang dianggap diduduki oleh Pendatang Tanpa Izin (PTI), beliau berkata disebabkan persepsi sedemikian, SESB tidak berminat untuk membekalkan elektrik ke kampung itu.
“SESB sendiri nampaknya tidak proaktif dalam menyelesaikan masalah bekalan elektrik di kebanyakan kampung khususnya di Parlimen Batu Sapi walaupun masalah ini tidak berpenghujung selama hampir 30 tahun.
“Bagaimana kita boleh biarkan penduduk kampung sentiasa dalam kegelapan dan rutin harian mereka terganggu ekoran bekalan elektrik tidak pernah disediakan menggunakan meter di kampung-kampung sekitar Batu Sapi.
“Difahami bahawa ramai penduduk cuba memohon secara sah, namun tidak dilayan dan pelbagai alasan diberikan SESB. Ini berdasarkan aduan dari Kampung Cenderamata sendiri.
“Aduan penduduk di Batu Sapi serta kos pemasangan meter elektrik tinggi menyumbang kepada kecurian elektrik. Kebanyakan penduduk di Batu Sapi tidak mampu menampung perbelanjaan semahal itu.
“Tidak dinafikan terdapat segelintir penduduk yang mengambil kesempatan, tetapi majoriti penduduk tiada pilihan lain untuk meneruskan kehidupan seharian mereka,” kata Khairul, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Batu Sapi, dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau juga berkata data atau bancian yang mendapati kebanyakan penduduk kampung yang tinggal di Batu Sapi adalah PTI adalah tidak berasas sama sekali.
“Justeru itu, saya memohon agar SESB bekerjasama dengan kampung-kampung ini untuk mencari penyelesaian terbaik. Isu kemanusiaan perlu diberi perhatian sewajarnya dalam perkara ini. Ini mengenai kehidupan masyarakat kampung,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
