Kes Harian COVID-19 Terus Meningkat 

1 Feb 2022 • 4:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jumlah kes baharu COVID-19 hari ini adalah 5,566 kes, berbanding 4,774 kes yang direkodkan semalam. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Jumlah kes jangkitan baharu COVID-19 hari ini meningkat kepada 5,566 kes, berbanding 4,774 kes yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes itu menjadikan kumulatif jangkitan COVID-19 di negara ini adalah 2,876,324 kes.

Katanya, maklumat terperinci mengenai perkembangan kes itu akan dimuatnaik di laman sesawang COVIDNOW. 

“Data harian laman COVIDNOW dikemaskini selepas tengah malam,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Sementara itu, data COVIDNOW merekodkan pertambahan 13 kes kematian, termasuk empat kes kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian mencecah 31,978 dengan 6,446 daripadanya adalah kes BID.

Johor dan Kelantan mencatatkan angka kematian tertinggi, iaitu masing-masing tiga, diikuti Sabah (2), manakala Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Terengganu serta Kuala Lumpur, merekodkan satu kes di setiap negeri. 

Tiada kes kematian dilaporkan di Kedah, Melaka, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 54,780 kes aktif dilaporkan dengan 46,646 individu sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,365 individu pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 3,655 menerima rawatan di hospital.

Kira-kira 114 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 62 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 3,232 kes sembuh turut dilaporkan. - Getaran, 1 Februari 2022