
KUALA LUMPUR - Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa BERSATU melanggar larangan berceramah secara bersemuka dan berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum tempoh yang dibenarkan.
Beliau turut menyindir pemimpin dan individu yang hadir pada Siri Pra Pelancaran Jentera dan Ceramah Terbuka anjuran Penerangan BERSATU di Parit Haji Ali, Muar, Johor malam tadi, seolah-olah kebal jangkitan COVID-19.
“Rupanya, prosedur operasi standard (SOP) larangan untuk berceramah secara bersemuka sudah ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia?
“Korang duduk rapat-rapat tak takut COVID ke?” soalnya dalam nada sinis menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Najib turut mempersoalkan mengapa program tersebut dibenarkan berlangsung walaupun sudah secara terang-terangan melanggar SOP ditetapkan.
Justeru, beliau meminta penjelasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara itu.
“Larangan untuk berceramah dan berkempen sebelum tempoh kempen yang dibenarkan seperti di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga telah dimansuhkan?
“Kenapa tiada siapa memberitahu UMNO dan BN? Minta penjelasan pihak KKM dan SPR,” katanya.
Dalam hantarannya itu, Najib turut berkongsi pautan program tersebut dari Facebook milik Pengarah Operasi Jabatan Pilihanraya BERSATU Negeri Johor, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’GuBard.
Menurut Che’GuBard, lebih 200 jentera BERSATU menghadiri program pra pelancaran Perikatan Nasional (PN) PRN Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Muar malam tadi.
Katanya, program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Badan Pimpinan Negeri BERSATU Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Siri Pra Pelancaran Jentera dan Ceramah Terbuka anjuran Penerangan BERSATU akan menjelajah ke seluruh Johor sebelum 9 Februari tanpa menunggu pengumuman tarikh penamaan SPR.
“Ini bagi memastikan semua jentera penerangan bergerak memastikan penyampaian maklumat terus kepada pengundi Johor,” katanya. - Getaran, 3 Februari 2022
