
KUALA LUMPUR - Ibu bapa tidak diwajibkan untuk mendaftarkan anak-anak berusia lima hingga bawah 12 tahun bagi menerima vaksin COVID-19.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pemberian vaksin tersebut akan dilakukan secara sukarela.

“Ini program sukarela tiada apa-apa syarat wajib yang kita tetapkan kepada ibu bapa.
“Kita ingin membina keyakinan ibu bapa supaya mereka tampil mendaftarkan anak-anak mereka untuk mendapatkan vaksin Pfizer yang diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah, hari ini.
Pada masa sama, Khairy turut memberi jaminan bahawa tiada sekatan akan dikenakan terhadap kanak-kanak yang tidak divaksinasi.

“Untuk kanak-kanak mereka tiada apa-apa syarat kelonggaran dan sebagainya. Kalau kita meletakkan syarat hanya kanak-kanak divaksin boleh diberi kebebasan dan kelonggaran, maka itu dilihat bukan lagi secara sukarela.
“Kita lebih kepada menggalakkan. Tiada apa-apa syarat dikenakan kepada kanak-kanak seperti mana dewasa,” katanya.
Diminta mengulas sama ada golongan kanak-kanak juga akan diberikan dos penggalak, Khairy berkata, belum ada sebarang syor mengenai perkara itu.
“Setakat hari ini, tiada apa-apa syor daripada kumpulan pakar kita, sama ada dos penggalak untuk remaja ataupun kanak-kanak.
“Saya kena sebut setakat 3 Februari, kalau tidak video itu akan diulangi,” katanya.
Malah beliau berkata, jumlah dos vaksin jenis Pfizer yang diberikan kepada kanak-kanak di Malaysia adalah sama dengan negara lain.

“Tiada dos berasaskan kaum, semua sama iaitu 10 microgram setiap suntikan. Dos ini adalah satu pertiga daripada dos dewasa. Kita telah buat kajian, bukan hanya bergantung terhadap kajian dikeluarkan negara lain.
“Kita lihat perkembangan di Singapura yang mempunyai komposisi kaum hampir sama dengan Malaysia berbanding Amerika Syarikat. Kita dapati tak ada kesan sampingan yang serius dan penerimaan di sana agak baik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan KKM akan sentiasa memantau kesan sampingan pemberian vaksin tersebut terhadap kanak-kanak.
“Kita akan terus memantau kesan sampingan atau Adverse Events Following Immunisation (AEFI) terhadap kanak-kanak.
“Kita akan maklumkan supaya ibu bapa rasa yakin dan selesa dengan pemberian vaksin pada program ini,” katanya. - Getaran, 3 Februari 2022

