Wanita pandu kereta curi, rempuh sekatan polis

15 Feb 2022 • 3:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang wanita ditangkap selepas insiden kejar-mengejar selama 90 minit menyaksikannya merempuh beberapa kenderaan, termasuk seorang posmen yang menunggang motosikal, di sekitar Tanjung Lipat, dekat sini, sekitar jam 10 pagi Isnin.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya Superintendan George Abdul Rakman berkata, suspek yang dipercayai penagih dadah, ditahan berdekatan lampu isyarat Tebobon, Jalan Sepanggar selepas dikejar sejauh 17 kilometer, dengan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan itu yang dilaporkan dicuri.

Beliau berkata Bilik Operasi IPD Kota Kinabalu menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 9.59 pagi memberitahu keretanya yang dicuri dilihat berdekatan pasar Filipina di Jalan Tun Fuad, dipandu seorang wanita tidak dikenali.

“Bertindak atas maklumat, dua kereta peronda MPV polis secara serentak mengesan kedudukan kereta itu di sekitar Tanjung Lipat.

“Bagaimanapun, suspek wanita berumur 35 tahun itu bertindak melarikan diri walaupun sudah diarahkan berhenti menggunakan pembesar suara oleh pasukan polis.

“Tiga daripada pegawai trafik IPD Kota Kinabalu cuba menyekat kenderaan itu di hadapan simpang masuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) tetapi suspek merempuh sekatan dan melarikan diri ke arah Jalan Sepanggar.

“Apabila tiba di lampu isyarat Tebobon, Jalan Sepanggar, Manggatal, suspek cuba menggunakan lorong kecemasan untuk mengelak kesesakan, tetapi gagal disebabkan terlalu banyak kereta,” katanya.

Menurut George, dua anggota dari MPV tersebut keluar dan mendekati kereta suspek dari belakang.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis tiba-tiba mengundurkan keretanya untuk melarikan diri sehingga seorang anggota polis cedera pada tangan kirinya.

“Demi melindungi diri dan menghalang suspek, anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta itu.

“Hasil tembakan itu, kereta suspek tidak dapat bergerak dan anggota polis bertindak memecahkan tingkap sebelah kiri sebelum menahan suspek,” katanya, menambah pemeriksaan kereta itu juga menemukan dadah dipercayai syabu yang diambil oleh suspek.

George berkata, suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah semasa kejadian dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 307 kerana cuba membunuh.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.