Ibu bapa mahu dapat pandangan doktor sebelum benar anak vaksin

2 Feb 2022 • 11:06 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 2 FEB: Rata-rata ibu bapa membenarkan anak mereka berusia lima hingga 12 tahun mengambil vaksin selepas mendapat pandangan doktor atau pakar.

Menyambut baik langkah kerajaan memulakan program vaksinasi terhadap golongan terbabit, Zailla Sulaiman, 36, bagaimanapun belum yakin untuk mendaftarkan tiga anaknya berumur antara lima hingga sembilan tahun sebagai penerima suntikan Covid-19.

Ibu tunggal itu berkata apatah lagi anak sulungnya Mohd Ammar Bukhari, 9, mempunyai penyakit asma dan bimbang kesan sampingan akan dihadapi selepas menerima pelalian tersebut.

“Saya bersetuju dengan usaha kerajaan ini tetapi nak lihat dulu kanak-kanak lain. Kalau orang dewasa pun ada kesan sampingan, inikan pula budak-budak.

“Jadi, buat masa ini saya belum bersedia lagi. Insya-Allah saya akan bawa anak-anak jumpa doktor untuk mendapatkan penjelasan,” katanya ketika ditemui Selangorkini hari ini.

Pandangan sama disuarakan Erny Ramli, 32, yang akan berjumpa doktor sebelum mendaftarkan Kaseh Seroja Mohd Redzuan, 6, dalam MySejahtera sebagai penerima vaksin berikutan anak tunggalnya itu mempunyai penyakit kulit dan asma.

Pembantu tadbir yang menetap di Bukit Beruntung, Rawang berkata suntikan vaksin terhadap kanak-kanak peringkat usia berkenaan masih baharu di negara ini.

“Ia tidak bermakna saya menolak sepenuhnya (pemberian vaksin kepada kanak-kanak) cuma belum masanya lagi disebabkan anak saya ada ada masalah kesihatan dan banyak kali masuk wad.

“Sebagai perlindungan daripada jangkitan Covid-19, saya akan pastikan anak saya sentiasa memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan terutama ketika di sekolah selain mengelak tempat sesak,” katanya.

Sementara itu, kakitangan pelantar minyak Zuleffendi Abdul Rahman, 41, mengakui bersedia dan sudah mendaftarkan anak sulungnya Arissa Zuleffendi, 8, untuk pengambilan vaksin sejak minggu lepas.

Menurutnya, pendekatan itu didorong kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan dalam kluster pendidikan sejak akhir-akhir ini.

“Sekurang-kurangnya saya tidak perlu bimbang keadaan anak semasa berada di sekolah memandangkan saya bekerja di Kota Kinabalu, Sabah dan jauh dari keluarga

“Sekarang hanya tunggu tarikh janji temu. Dia pun teruja untuk divaksin selepas melihat saya dan isteri sudah berbuat demikian sebelum ini,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia akan melaksanakan pemberian vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun bermula bulan ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program adalah kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan berikutan lebih berisiko dijangkiti wabak.