
Kota Kinabalu: Pengguna di Sabah diberi jaminan bekalan beras pulut mencukupi, terutamanya semasa Ramadan dan Hari Raya.
Jaminan ini, menurut Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Sabah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Mohamad Nornizam Ramly, bagi mengelak kebimbangan mengenai kekurangan bekalan beras pulut, yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, pasukan mereka telah memeriksa semua premis borong dan gudang Bernas di Sabah untuk inventori bekalan beras pulut lebih 700 tan metrik setakat Isnin.
“Pejabat kami juga memperolehi statistik jualan daripada Gudang Bernas kepada semua pemborong di Sabah yang menunjukkan secara purata pada Hari Raya, 700 hingga 800 tan metrik dijual setiap bulan, berbanding hanya 300 hingga 400 tan metrik sepanjang tahun ini.
“Stok bekalan beras pulut telah diletakkan di gudang Bernas di sekitar Sabah termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, dan Sandakan.
“Menyedari permintaan untuk beras pulut akan meningkat pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, Bernas juga telah merangka jadual bekalan pulut di seluruh Sabah sebanyak 2,500 tan metrik dari Februari hingga Mei 2022,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

