
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memantau Lorong Pulai, Lorong Palas 2G dan Lorong Gunung Juo 3 – semuanya di Luyang – berikutan aduan tentang gangguan yang ditimbulkan oleh anjing di kawasan ini.
Jurucakap Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar agensi itu berkata seekor anjing liar ditangkap berkeliaran di Lorong Gunung Juo 3, manakala seorang pemilik anjing di Lorong Pulai, dikenakan tindakan kerana gagal mendaftarkan haiwan peliharaannya.
Katanya, tindakan ini diambil oleh Bahagian Kawalan Haiwan (ACD) semasa pemeriksaan di jalan perumahan berkenaan, yang dibuat antara 28 Disember dan 9 Februari.
Anggota pasukan ACD meronda sekitar kawasan awam di Lorong Palas 2G mencari anjing liar.
"Apabila kakitangan ACD kami bertemu pemilik di Lorong Pulai, mereka mendapati kedua-dua anjingnya tidak berlesen,” katanya.
“Dia diberi taklimat mengenai keperluan DBKK mengenani pemeliharaan anjing, dan dinasihatkan supaya tidak membenarkan haiwan peliharaannya berkeliaran tanpa pengawasan di kawasan umum di sini.”
Katanya, dia menerima notis untuk mendaftarkan anjingnya semasa pemeriksaan, bersama-sama brosur mengenai garis panduan agensi mengenai pemeliharaan anjing.
“Garis panduan itu ditetapkan dalam Undang-Undang Kecil Pendaftaran dan Kawalan Anjing 1963 (Pindaan 2008) kami.
“Jika perlu, risalah serupa akan diletakkan di dalam kotak pos rumah di Lorong Palas 2G dan sekitar kejiranan.”
Jurucakap itu berkata sebuah trak terbuka sudah dua kali dihantar ke kawasan ini untuk memudahkan usaha menangkap mana-mana anjing liar di sana.
“Kakitangan kami meronda di sekitar kawasan awam tetapi gagal menemui mana-mana anjing berkeliaran di jalan perumahan di sini.”
Walaupun pulang dengan tangan kosong dalam kedua-dua pemeriksaan, katanya, ACD akan membuat pemeriksaan berkala di ketiga-tiga jalan perumahan terbabit untuk memastikan orang ramai tidak rasa terganggu oleh mana-mana anjing di sana.
Jurucakap itu mengingatkan pemilik anjing di sekitar Ibu Negeri supaya memastikan haiwan peliharaan mereka berada di dalam kawasan perkarangan mereka.
“Pasukan ACD mempunyai kuasa untuk menangkap mana-mana anjing yang ditemui berkeliaran tanpa pengawasan.
“Untuk yang memakai tag akan ditangkap, dengan pemiliknya diberi tempoh untuk menuntut haiwan mereka.”
Katanya, pemilik perlu menjelaskan kompaun sehingga RM500, sebelum haiwan peliharaan mereka dikembalikan kepada mereka.
KANDY, yang tinggal di Lorong Pulai, berkata salah seekor anjing pemilik berkenaan dilihat berkeliaran di kawasan umum, walaupun tiada sesiapa di rumah.
Dia berkata anjing itu sering mengotorkan bahagian jalan di hadapan rumahnya.
“Kami perlu memeriksa jalan raya setiap kali, sebelum meninggalkan atau pulang ke rumah kami, untuk mengelakkan terpijak, atau tayar kereta terkena najis anjing,” katanya.
SEORANG kakitangan DBKK bercakap dengan penghuni rumah di Lorong Pulai untuk mendapatkan lesen untuk anjingnya.
“Kami semua sudah serik terpaksa mencuci jalan itu apabila ia dijadikan tempat untuk haiwan peliharaannya membuang najis.”
Dia menceritakan kekecewaannya kepada jirannya yang mengadu tentang sandal dan kasut hilang dari rumah mereka.
“Mereka mengesyaki anjing itu mungkin memasuki halaman rumah mereka dan melarikan barang-barang ini.”
Kandy berkata pemilik haiwan peliharaan itu nampaknya tidak kisah anjingnya menyebabkan kekacauan.
“Sebahagian penduduk di sini pernah menyuarakan rasa tidak senang mereka tentang kejadian ini kepadanya tetapi, setakat ini, rayuan mereka tidak didengari.
“Saya bukan tidak suka ajing itu, tetapi saya merasakan pemiliknya sekurang-kurangnya perlu mengawasi haiwan peliharaannya ketika berada di luar rumahnya sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.”
Katanya, dia takut untuk membayangkan apa yang akan berlaku jika seorang pejalan kaki tidak bersalah, termasuk kanak-kanak atau warga emas di kejiranan itu, digigit atau diserang oleh anjing itu.
Kandy berkata, dia pernah, sekali atau dua kali, melihat anjing itu mengejar kereta dan juga motosikal yang menggunakan jalan perumahan.
Seorang lagi pemilik rumah di Luyang, WILL, turut mengadu tentang gangguan yang ditimbulkan anjing-anjing liar di kawasannya.
Katanya, anjing-anjing di Lorong Palas 2G itu menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan di dalam beg sampah.
“Lebih teruk lagi, mereka berak di beberapa bahagian jalan dan berdekatan rumah saya,” katanya.
“Anjing-anjing ini juga kencing pada tayar kenderaan yang ditinggalkan di luar pintu pagar saya.
“Sesetengah rakan saya kini berkeras mahu meletak kenderaan di dalam perkarangan saya kerana mereka sudah muak dengan perkara ini.”
Sementara itu, BARBRA, yang tinggal di Lorong Gunung Juo 3, berkata bunyi bising dari anjing menyalak menghalang dia dan keluarganya daripada mendapat rehat malam yang baik.
Dia mengesyaki bunyi bising itu dicetuskan oleh sekumpulan anjing liar yang dilihatnya di jalan perumahan berkenaan.
“Terdapat kira-kira empat ekor anjing yang saya lihat berbaring di atas jalan,” katanya.
“Jika salah seekor mula melolong pada waktu subuh maka setiap haiwan peliharaan lain di sekitarnya juga akan mula melolong.
“Perkara sama berlaku jika ia menyalak anjing lain di dalam rumah di sini.”
Katanya, bunyi anjing menyalak bertambah kuat dan lebih mengganggu selepas itu.
“Ini lebih-lebih lagi apabila bunyi persekitaran menjadi sunyi.
“Bunyi bising yang berlaku akan membangunkan anda dan menyukarkan anda untuk tidur semula.”
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

