Malaysia Turut Terkesan Jika Russia - Ukraine Berperang

15 Feb 2022 • 8:26 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pemandangan di sempadan Ukraine - Russia, kira-kira 40 km dari bandar kedua terbesar Ukraine iaitu Kharkiv. - Gambar AFP

KUALA LUMPUR - Ketegangan antara Russia dan Ukraine yang berkemungkinan menjurus kepada peperangan, bakal merencatkan geopolitik, keselamatan serta ekonomi antarabangsa, termasuk Malaysia.

Felo Kanan Akademik Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, biarpun krisis itu berlaku di Eropah Timur, kesan pergolakan dialami mampu memberi impak buruk kepada perhubungan antara negara dunia.

Katanya, pergolakan proksi dijangka berlaku, iaitu membabitkan Amerika Syarikat (AS) yang menyebelahi Ukraine, kerana kuasa besar dunia terbabit pasti akan mengambil tindakan jika Russia menceroboh negara kedua terbesar di Eropah itu.

“Apabila perkara berkenaan berlaku, sudah pasti geopolitik antarabangsa tergugat, terutama ketika AS sedang memberi tumpuan di rantau Indo-Pasifik yang turut ‘direbut’ China.

“China pula pasti akan memandang pergolakan itu dan bila berlaku peperangan di sana, sudah pasti republik berkenaan akan mencuri peluang dalam hal ini untuk merebut kuasa di rantau Indo-Pasifik,” katanya ketika dihubungi Getaran hari ini.

image is not available
Dr Azmi Hassan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas situasi di Ukraine ketika ini yang semakin tegang apabila Russia menempatkan 100,000 tentera di sempadan negara.

Kedua-dua negara menegaskan, mereka gagal mencapai sebarang kejayaan dalam rundingan setakat ini, meskipun beberapa pemimpin dunia menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah, rentetan konflik pemisah selama lapan tahun di timur Ukraine itu.

Ditanya mengenai kesan terhadap keselamatan negara susulan krisis tersebut, Azmi berkata ia boleh dialami sama seperti impak ketidakstabilan geopolitik.

“Perkara paling dibimbangi adalah tindakan luar jangka segelintir pihak yang mengambil kesempatan apabila berlakunya peperangan antara Russia dan Ukraine.

“Ini membabitkan isu keselamatan yang termasuk dalam ruang lingkup geopolitik, jadi itu kita nak elakkan berlaku sehingga memberi kesan kepada negara di sebelah sini (Malaysia) sekiranya perang tercetus," katanya.

Jelas Azmi, peperangan yang bakal berlaku antara Russia dan Ukraine turut dikhuatiri menjejaskan keselamatan serta keamanan rantau kerana secara tidak langsung akan mengaitkan Malaysia.

Mengulas mengenai kesan pergolakan itu terhadap ekonomi Malaysia, beliau berkata, ia sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi, terutama ketika pandemik COVID-19 yang menyaksikan rantaian bekalan tergugat.

"Justeru, sekiranya berlaku peperangan di negara itu, termasuk membabitkan AS, rantaian bekalan akan terjejas dan mengganggu ekonomi Malaysia," katanya.

Bercakap mengenai peranan negara ini dalam isu berkenaan, Azmi berkata, sememangnya Malaysia sama sekali tidak campur tangan kerana memegang pendirian selari dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Masalah di Ukraine ini adalah pertembungan di antara AS dengan Russia sebenarnya, jadi PPB pun hanya memandang dari tepi sahaja.

“Jadi sebagai ahli PBB, kita (Malaysia) hanya mengharapkan tindakan PBB dan tidak boleh bergerak sendiri,” katanya.

Diaju persoalan bagaimana pergolakan itu boleh berakhir, Azmi berkata, ia akan bernoktah sekiranya Russia dan Amerika Syarikat yang menjadi proksi utama Ukraine bertolak ansur.

Jelasnya, Ukraine sendiri pernah mengatakan negara itu sedia bertolak ansur demi mengelakkan peperangan dengan membuat syor tidak akan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), memandangkan ia menjadi punca kepada titik perbalahan yang berlaku sejak awal.

Beliau berkata, kesulitan dialami untuk menyelesaikan konflik itu adalah kerana keegoan AS dan Russia, menyebabkan kedua-duanya tidak mahu mengalah sehingga pergolakan berterusan.

“Ini dapat dilihat menerusi usaha Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menjadi orang tengah atau mediator untuk membantu menyelesaikan perkara itu, baru-baru ini tanpa salah satu pihak akan dilihat kalah, tetapi gagal.

“Sekarang pemimpin Jerman pula ke Ukraine dan Russia untuk hal sama, jadi kita tengoklah macam mana dalam tempoh 24 jam, berjaya atau tidak,” katanya.

Sementara itu, ekoran bimbang dengan pencerobohan Russia, beberapa negara menggesa rakyatnya di Ukraine segera meninggalkan negara berkenaan, selain mengurangkan bilangan kakitangan diplomatik.

Antara negara itu adalah AS, Jerman, Itali, Britain, Ireland, Belgium, Luxembourg, Belanda, Kanada, Norway, Estonia, Lithuania, Bulgaria, Slovenia, Australia, Jepun, Israel, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Malaysia pula menerusi Kementerian Luar menggesa rakyatnya di sana supaya menghubungi segera pihak kedutaan untuk melaporkan diri. - Getaran, 15 Februari 2022

View Original Article