
Kota Kinabalu: Dokumen pengenalan diri yang dicadangkan kepada warga asing di Sabah mestilah tidak mempunyai status sah, kata Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee (gambar).
Yong berkata, pengeluaran itu perlu dihadkan kepada warga asing yang bekerja.
“Hanya mereka yang telah lama berada di Sabah mungkin akan diberikan kad itu,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.
“Sebab jika tidak, cadangan itu mungkin menimbulkan masalah yang lebih besar kerana cadangan itu akan menggalakkan kemasukan pendatang tanpa izin ke Sabah pada masa hadapan.”
Beliau menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada Khamis.
Hamzah berkata kad khas akan diwujudkan dan dikeluarkan kepada warga asing yang menetap lama di Sabah termasuk anak-anak mereka.
Sambil menyifatkan cadangan yang dibuat oleh Kerajaan Sabah ini sebagai baik, Hamzah berkata kad itu akan membolehkan pihak berkuasa memastikan jumlah warga asing yang berada di negeri itu.
Sementara itu, Yong turut mencadangkan agar penguatkuasa imigresen mesti meningkatkan kadar penghantaran pendatang tanpa izin ke negara asal mereka.
“Pada masa yang sama, keselamatan sempadan mesti dipertingkatkan bagi mengelak sebarang pendatang tanpa izin ke Sabah,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

