Mohd Khuzzan Bertanding Lagi Di DUN Semerah

Politics
15 Feb 2022 • 8:05 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohd Khuzzan Abu Bakar

JOHOR BAHRU - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar sekali lagi diberi kepercayaan oleh pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengekalkan kedudukan di DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mohd Khuzzan, 54, ialah antara tujuh lagi calon PKR yang diumumkan bakal bertanding pada PRN Johor bulan depan.

Biarpun menerima protes ketika namanya diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Khuzzan tidak mengalah dan akan memastikan dapat mengukuhkan semula hubungan sesama anggota parti.

"Ini kali kedua (menerima protes), pilihan raya umum lepas juga begini. Tetapi, saya menyerahkan kepada masyarakat dan pemilih untuk memilih.

"Ini cuma sebahagian sahaja (yang protes), tetapi masih ramai lagi yang menyokong. Bagi mereka yang memprotes tadi, saya akan pastikan dapat mengukuhkan semula hubungan sesama ahli parti bagi memastikan kemenangan kerusi DUN Semerah akan datang," katanya selepas Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Utara di Batu Pahat, malam tadi.

DUN Semerah dianggap kerusi panas pada PRN Johor dan Mohd Khuzzan berkata, walaupun memenangi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti hanya 98, beliau tetap mengambil cabaran dan akan melakukan yang terbaik untuk masyarakat setempat.

image is not available
Md Ysahrudin Kusni

Selain Mohd Khuzzan, seorang lagi calon yang diberi amanah bertanding semula ialah penyandang kerusi DUN Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni.

Lima calon lain yang diumumkan adalah calon muka baharu, Yoong Thau (DUN Pemanis), Naim Jusri (DUN Gambir), Azmi Masrani (DUN Sri Medan), Abdullah Sahid (DUN Sungai Balang) dan C Subramani (DUN Buloh Kasap).

image is not available
Yoong Thau

image is not available
Abdullah Sahid

image is not available
Naim Jusri

Setakat ini, seramai 13 calon PKR sudah diumumkan sejak pagi semalam.

Sebanyak 20 kerusi DUN bakal diwakili PKR pada PRN Johor.

Difahamkan, baki tujuh lagi calon akan diumumkan dalam masa terdekat. - Getaran, 15 Februari 2022