Rindukan Australia? Australia Kembali Terima Pelancong Bermula 21 Februari

9 Feb 2022 • 3:01 PM MYT
Rileklah
Rileklah

Lifestyle & travel news. Malaysian-style travel, tips, food, hotel and more!

image is not available

Australia akan membuka semula sempadannya kepada pelancong luar bermula 21 Februari ini, kata Perdana Menteri, Scott Morrison dalam satu pengumuman hari ini sekali gus menamatkan antara sekatan perjalanan paling ketat dan paling lama di dunia sepanjang tempoh pandemik.

image is not available

“Sekiranya anda lengkap divaksin sebanyak dua kali, kami mengalu-alukan kedatangan semula anda ke Australia,” katanya

Pelabuhan dan lapangan terbang negara itu ditutup kepada pelancong pada Mac 2020 dengan bertujuan untuk melindungi pulau benua tersebut daripada lonjakan kes pandemik global.

Terdahulu, kerajaan Australia mengadakan satu mesyuarat bagi memutuskan perkara tersebut, demikian menurut portal berita MailOnline.

Menteri Dalam Negeri Australia, Karen Andrews sebelum ini berkata, keutamaan akan diberikan kepada pelancong dan pelawat perniagaan yang telah menerima vaksinasi lengkap Covid-19.

“Kami telah melaksanakan proses-proses bagi bersiap sedia dalam membuka kembali sempadan negara.

“Kerajaan juga akan terus berbincang dengan pakar-pakar kesihatan, dan sebaik sahaja mereka bersetuju, pintu sempadan negara akan dibuka kembali kepada pelancong,” katanya.

Sebelum ini, penduduk Australia yang telah divaksin dibenarkan keluar dari negara itu sejak 1 November lepas, manakala pekerja asing berkemahiran dan pelajar antarabangsa turut diterima masuk pada pertengahan Disember 2021.

Dengan bilangan kes Covid-19 di Australia dan negara-negara lain yang semakin berkurang, kerajaan negara itu kini memberi fokus untuk merancakkan kembali sektor pelancongan.

“Kerajaan sedar bahawa ekonomi negara ini terus tertekan termasuk sektor penting seperti pelancongan.

“Sama seperti pengendali perkhidmatan pelancongan di seluruh negara, kami ingin melihat pelancong luar kembali ke negara ini sebaik sahaja situasi disahkan selamat,” ujar Andrews. – AFP/AGENSI