
KULAI: DAP kini berada pada peringkat akhir bagi menentukan baki calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac depan, kata Timbalan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching(gambar).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Persiapan Pilihan Raya DAP Johor itu berkata nama-nama calon itu dijangka diumumkan minggu hadapan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pencalonan beliau sebagai calon pada PRN tersebut, Teo berkata yang beliau bersedia untuk menjadi calon DAP untuk bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH), namun menyerahkan sebarang keputusan berhubung perkara itu kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
“Kepimpinan DAP ada berpandangan bahawa Ahli Parlimen boleh dicalonkan sebagai calon PRN Johor. Tetapi setakat ini, tiada keputusan muktamad (untuk saya menjadi calon) jadi saya bersedia mengikut arahan parti untuk bertanding.
“Kalau parti rasa saya perlu dicalonkan, saya akan ikut,” kata Ahli Parlimen Kulai itu ketika ditemui selepas meninjau projek baik pulih kemudahan awam di Taman Eko Rimba, Gunung Pulai di sini, hari ini.
Setakat ini, DAP telah mengumumkan empat calon yang akan bertanding iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri Tangkak, Paloh, Mengkibol dan Penggaram.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.-Bernama
