Lima pegawai kanan Mara dirakam percakapan di SPRM

11 Feb 2022 • 5:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PUTRAJAYA - Lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dekat sini pada Jumaat.

Difahamkan mereka tiba jam tiga petang dipercayai bagi merakamkan percakapan selepas didakwa terlibat dalam isu integriti dan salah guna kuasa.

Menurut sumber, proses siasatan dijangka berlanjutan sehingga malam.

SPRM memulakan siasatan terhadap Mara dengan melakukan serbuan ke atas tiga lokasi berasingan di Jalan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang pada Isnin lalu.

Ia selepas sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara tular di Twitter pada Jumaat minggu lalu.

Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.

Surat yang bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Azizah kemudiannya berkata bahawa Mara telah memulakan siasatan lanjut di Mara Corp bagi meneliti dokumen-dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.