Sahruddin Seperti Ghairah ‘Beli Undi’, Belanja Minyak Hitam Motosikal

Politics
27 Feb 2022 • 9:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sahruddin (kanan) berbual bersama orang ramai pada program menukar minyak hitam secara percuma dilaksanakan beliau sebagai gerakan kempennya di DUN Bukit Kepong, hari ini.

TANGKAK - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal seolah-olah ghairah ‘membeli undi’ daripada penduduk setempat.

Ia berikutan mantan Menteri Besar Johor itu melaksanakan kempen untuk menarik hati pengundi muda, termasuk mengadakan program menukar minyak hitam motosikal secara percuma di kawasan Paya Redan dan Gersik yang terletak di Pusat Daerah Mengundi (PDM) PN Gersik di sini, hari ini.

Tinjauan Getaran mendapati, Sahruddin seperti tidak melakukan kesalahan bagi membeli undi menerusi cara itu walaupun terdapat pengamal media yang hadir menemu bual beliau untuk mengetahui perancangannya, jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong.

Lantaran itu, dalam konteks pilihan raya, tindakan tersebut adalah suatu kesalahan yang termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Tindakan terbabit membawa konotasi wujud kesalahan secara jelas kerana membabitkan pemberian atau derma daripada mana-mana parti politik.

Jika pemberian itu dilakukan untuk mempengaruhi pengundi, ia dianggap sebagai sogokan tetapi pihak yang memberi boleh menafikan dengan mengatakannya sebagai satu bentuk perbelanjaan pilihan raya.

Berdasarkan akta berkenaan, sembilan kesalahan sogokan berdasarkan seksyen 10, termasuk pemberian minyak percuma boleh mendorong bagi mendapatkan undi. - Getaran, 27 Februari 2022