
KUALA LUMPUR - Kes harian COVID-19 di negara ini terus mencatatkan peningkatan empat hari berturut-turut dengan 27,831 kes baharu dilaporkan, setakat tengah hari ini.
Semalam, kes harian yang dilaporkan adalah sebanyak 22,133 kes, manakala masing-masing 21,315 dan 21,072 pada Isnin serta Ahad.
Kes baharu itu juga adalah tertinggi dilaporkan sejak 26 Ogos tahun lalu yang ketika itu mencatatkan 24,599 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 3,111,514.
Mengulas mengenai kes hari ini, Dr Noor Hisham berkata 72.32 peratus atau 20,128 kes adalah pesakit dalam kategori dua atau bergejala ringan.
“Selain itu 27.33 peratus atau 7,606 kes pula adalah pesakit dalam kategori satu iaitu bergejala ringan, diikuti kategori tiga (59), kategori empat (28) dan kategori lima (10),” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes COVID-19 baharu yang dimasukkan ke hospital adalah 1,269 kes.
“Daripada 1,269 kes ini, 428 kes (33.7 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5, manakala 841 kes (66.3 peratus) adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Meskipun semasa kes diuji dan baru diperiksa, kebanyakan pesakit berada pada kategori rendah, namun hari berikutnya ada kes menunjukkan kesihatan pesakit merosot ke kategori lebih tinggi.
“Ini memerlukan mereka dimasukkan ke pusat kuarantin atau hospital,” katanya. - Getaran, 16 Februari 2022
