
Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) menerima tajaan bernilai RM500,000 daripada penaja utamanya, Red One Holding Bhd (redONE) pada Khamis.
Penajaan itu diserahkan oleh Pengerusi redONE, Tan Sri T.C Goh semasa majlis makan malam kutipan dana anjuran Safa, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.
Goh berharap tajaan tersebut akan membantu meningkatkan prestasi pasukan bola sepak Sabah dan akhirnya mengembalikan kegemilangannya.
Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dan peminat sukan bola sepak serta penyokong sendiri, merupakan antara penyumbang utama pasukan bola sepak Sabah yang memenangi Piala Malaysia, pada 1994.
Beliau juga dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Safa pada 2017, semasa di bawah pengendalian Ketua Menteri ketika itu Tan Sri Musa Aman sebagai Presidennya. Goh turut membantu pengambilan bekas penyerang Liverpool, El Hadji Ousseynou Diouf untuk bermain untuk Safa, yang menjadi topik popular arena bola sepak ketika itu.
Goh yang menyokong Safa dan bola sepak Sabah selama ini sekali lagi membantu Safa dengan penajaan tersebut, atas kapasitinya sebagai Pengerusi redone dan langkah tersebut turut difasilitasi oleh ketua pegawai operasi redONE, Ben Teh, dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Farid Yunus.
Ketika menerima tajaan bagi pihak Safa, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Presiden Safa, mengucapkan terima kasih kepada redONE kerana tampil menyokong Safa.
Beliau juga berharap semua pihak yang terlibat dapat berusaha untuk membantu meningkatkan prestasi pasukan bola sepak Sabah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

