RUU Anti Lompat Parti Tidak Wajar Dilengahkan

Politics
19 Feb 2022 • 5:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail

KOTA KINABALU - Pembentangan Rang Undang Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen pada 28 Februari ini adalah langkah tepat dan tidak wajar ditangguhkan.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, ia menunjukkan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap semangat memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

“RUU Anti Lompat Parti adalah pendirian PH yang mana kami mahukan ia dibawa ke Parlimen mengikut garis masa dipersetujui.

“Bagi saya, pembentangan RUU ini tidak wajar ditangguhkan kerana rakyat akar umbi mahu perubahan ketara bagi memastikan tiada wakil rakyat melompat parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

image is not available
Wilfred Madius Tangau

Madius yang juga Ahli Jawatankuasa Teknikal RUU Anti Lompat Parti berkata, tindakan itu sekali gus dapat mempertahankan integriti dewan perundangan dan wakil rakyat dipilih pengundi.

“Apa yang penting RUU ini harus dibentangkan segera dan saya percaya kita mempunyai masa untuk melakukan penambahbaikan,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan, kerajaan bersetuju membentang dan memuktamadkan RUU berkenaan pada persidangan Parlimen akhir bulan ini. – Getaran, 19 Februari 2022