Peniaga Jangan ‘Cekik Darah’ Ketika PRN Johor - Rosol

18 Feb 2022 • 5:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rosol (kanan) melakukan tinjauan harga barangan keperluan asas di sebuah pasar raya di Kuantan, hari ini.

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga, terutama pengusaha kedai makan supaya tidak menaikkan harga ‘mencekik darah’ ketika pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, mana-mana peniaga yang gagal mematuhi amaran itu akan dikenakan tindakan tegas.

“Ada pilihan raya ke, tidak ada ke, tugas kita berjalan seperti biasa dan kalau berlaku pencatutan (kenaikan harga) tindakan akan diambil terhadap mereka (peniaga).

“Ini biasalah, bila ada pilihan raya, segelintir peniaga akan ambil kesempatan, tapi jika ia berlaku, buat aduan segera supaya pegawai dan anggota kita boleh mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku kenaikan harga barangan sepanjang PRN Johor

Terdahulu, Rosol melakukan tinjauan harga barangan keperluan asas di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon, manakala hari pengundian pula pada 12 Mac.

Ketika ditanya mengenai keberkesanan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dalam mengawal harga ayam, Rosol berkata, setakat ini kebanyakan peniaga mematuhi arahan ditetapkan kerajaan dengan menjual produk itu pada harga siling RM8.90 sekilogram.

“Apabila kerajaan mewartakan harga RM8.90 sekilogram, ia merangkumi semua kos logistik, pengangkutan dan buruh.

“Kalau ada (pembekal) mendakwa kenaikan kos logistik mengakibatkan mereka tidak boleh menjual pada harga ditetapkan, ia tidak betul kerana kita sudah kira semuanya sebelum menentukan harga siling itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, kementerian itu sudah membuat persediaan untuk memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi menjelang Ramadan.

“Kita pun tahu bila Ramadan, bekalan ayam dan telur diperlukan pengguna, khususnya peniaga adalah dalam kuantiti yang banyak, seperti untuk membuat kuih serta kek, jadi kita sentiasa melakukan semakan bekalan supaya ia mencukupi.

“Macam sekarang, bekalan telur sudah kembali pulih, begitu juga minyak masak berpeket dan gandum, jadi kita harap ia (kekurangan bekalan) tidak berlaku,” katanya. - Getaran, 18 Februari 2022