Perginya Legenda Teater Malaysia, Jit Murad

13 Feb 2022 • 3:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar: Mubi.com

Komuniti teater Malaysia dirundung kesedihan selepas menerima berita pemergian pelakon, pengarah dan penulis, Jit Murad 62, yang meninggal dunia semalam (Sabtu, 12 Februari). Punca kematian beliau masih tidak diberitahu.

Menurut laporan The Star, berita kematian ini telah disahkan oleh seorang penggiat veteran teater yang juga rakannya iaitu Jo Kukathas dan menyatakan Jit Murad meninggal dunia di rumah yang terletak di Kuala Lumpur.

Jit Murad atau nama sebenarnya Aziz Mirzan adalah anak jati  Kuala Lumpur dan anak kepada mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor.

Beliau merupakan graduan Sosiologi (Kajian Bandar) dan mempunyai ijazah Sarjana dalam Seni Sejarah. 

Jit bekerja sebagai seorang penulis, pelakon dan penerbit teater. Beliau seorang penulis yang berprofil tinggi di Asia Tenggara dan pernah memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Seni Boh Cameronian.  

Allahyarham memulakan kerjayanya dengan pementasan yang berjudul Caught in The Middle pada 1987 dan terus berkarya sehingga tahun 2009. Pementasan terakhirnya adalah Load of Bull Jit. 

Jit juga pernah membuat kemunculan di dalam beberapa filem seperti Mat Gelap, Selubung, Mimpi Moon dan Spilt Gravy on Rice.

Sehingga semalam, masih belum banyak maklumat yang dikongsikan bersama pihak media namun ahli keluarga, rakan-rakan dan pengikutnya telah menyatakan perasaan sedih mereka lewat media sosial. 

“Saya pernah menonton persembahannya sebelum saya sendiri menjadi seorang pelawak. Pada waktu itu saya sedar, beliau sungguh hebat. Saya ketawa terbahak-bahak sedangkan penonton lain sukar memahami persembahannya.

“Jit memang definisi sebenar niche. Dia juga salah satu sebab kenapa saya memilih untuk menjadi seorang penghibur,” kata pelawak Kavin Jay. 

“Hari ini, kita telah kehilangan seorang penghibur yang pintar berjenaka, tajam akal dan serba-serbi sempurna. Seorang legenda dan pelopor. Terlalu cepat beliau pergi meninggalkan kita.

“Jit adalah penghibur komediri kegemaran saya dan saya pasti, ramai di luar sana merasakan yang sama,” tambah pelawak Phoon Chi Ho. 

“Saya rasa sungguh bertuah dapat membawakan watak Darwis dalam Spilt Gravy on Rice. Jit sungguh berbakat dan sangat disayangi oleh ramai orang. Beliau pasti akan dirindui,” kata Reza Zainal Abidin, seorang pelakon, pengarah dan pensyarah.

        View this post on Instagram                      

A post shared by gavin yap (@gavyap77)

Dalam satu ciapan, adik lelaki Allahyarham, Na'a Murad berterima kasih atas semua ucapan takziah, namun memberitahu bahawa beliau akan berehat sebentar dari media sosial. - The Vibes, 13 Februari 2022