2 Beradik Maut Makan Sisa Di Tong Sampah

13 Feb 2022 • 9:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anggota polis memasukkan mayat dua beradik berusia 4 dan 2 tahun ke dalam kenderaan pacuan empat roda untuk dihantar ke unit forensik, Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi. - Gambar ihsan Polis Langkawi

LANGKAWI - Dua beradik berusia empat dan dua tahun maut tidak berapa lama selepas kedua-duanya memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari Shariman Ashari berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.40 petang setelah bapa mangsa yang berasal dari Myanmar dan hanya dikenali sebagai Jamaludin, 36, terlihat kedua-dua anaknya berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang.

Melihat keadaan itu katanya, bapa mangsa terus mengangkat kedua-dua kanak-kanak dikenali sebagai Nizambudin, 4, dan Ngei, 2, ke rumah jiran.

“Bapa mangsa mendapati mulut kedua-dua anaknya berbuih dan dalam beberapa minit, dua anaknya itu sudah tidak bernafas.

“Susulan kejadian, penduduk kampung segera menghubungi pihak polis.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut meninggal dunia dipercayai setelah memakan sisa makanan dari tong sampah di situ,” katanya.

Tambahnya, bapa kedua-dua mangsa dipercayai sekadar mengambil upah membaiki kelengkapan bot atau melakukan kerja kampung, malah mereka sekeluarga juga tidak memiliki kediaman tetap dan hanya menumpang teduh di rumah jiran.

“Pengesahan kematian dibuat oleh kakitangan Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi dengan mayat kedua-dua mereka dihantar ke unit forensik HSM untuk menjalani ujian COVID-19 dan bedah siasat.

“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”  katanya. - Getaran 13 Februari 2022