JHEAINS Kumpul Maklumat Terperinci Ajaran Wali Tujuh

4 Feb 2022 • 7:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Datuk Mohd Arifin Mohd Arif

KOTA KINABALU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Pejabat Mufti Sabah sedang mengumpul maklumat terperinci mengenai ajaran ‘Wali Tujuh’.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, maklumat itu penting bagi membolehkan tindakan susulan sewajarnya diambil.

Katanya, pihak berkuasa agama itu sedang mendapatkan maklumat mengenai penyebaran ajaran terbabit di seluruh Sabah yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

“Kita akan dapatkan maklumat dulu, dalam minggu ini ada data, termasuk daripada sumber yang membuat laporan berkenaan.

“Mufti sedang meneliti perkara ini dan kita boleh rujuk kepada beliau,” katanya sebagai mengulas kes tangkapan tiga pengikut kumpulan Wali Tujuh di Kinabatangan, Selasa lalu.

Mohd Arifin berkata, bahagian penguat kuasa dan pegawai tadbir JHEAINS di peringkat daerah sudah diarah menyiasat perkara itu.

Jelasnya, hasil siasatan itu akan dibawa ke pejabat Mufti Sabah untuk mendapatkan pandangan hukum mengenai ajaran berkenaan.

Menurut Arifin, ajaran bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau sesat yang menyeleweng daripada Islam boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Dalam pada itu, Mohd Arifin tidak menolak kemungkinan ajaran Wali Tujuh terbabit boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada negeri berkenaan.

“Itu tidak mustahil dan sebab ini kita perlukan penjelasan kerana kita tidak mahu nilai yang bertentangan dengan agama.

“Biasanya yang bertentangan dan menyeleweng ini mudah untuk ekstrem serta senang menyeleweng semangat atau akidah sehingga boleh mendorong tindakan kekerasan dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk melaporkan segera kepada JHEAINS sekiranya terdapat ajaran Islam meragukan.

Katanya, orang awam boleh merujuk kepada JHEAINS mengenai ajaran yang menimbulkan kemusykilan mereka untuk mendapatkan penjelasan. - Getaran, 4 Februari 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved